Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 10 MEI 2024 : Kerajaan Negeri Pahang menggunakan aplikasi sistem Internet of Things (IoT) bagi sektor penternakan, sejajar perkembangan Revolusi Pertanian 4.0.
Menurut Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak, Kerajaan Negeri menjunjung titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenaan isu pertanian dan keterjaminan
makanan.
“Pihak Kerajaan Negeri juga amat prihatin bagi memperkasa sektor penternakan. Untuk sektor penternakan, sejajar perkembangan Revolusi Pertanian 4.0 aplikasi sistem Internet of Things (IoT) telah digunakan dalam penternakan ayam sistem reban tertutup yang melibatkan kawalan persekitaran dalam reban seperti suhu, kelembapan, cahaya dan kelajuan udara yang mempengaruhi tumbesaran ayam dan secara tidak langsung membantu mengoptimumkan pengeluaran daging ayam.
“Selain daripada penternakan ayam komersil, IoT turut digunakan dalam penternakan lembu tenusu komersil seperti yang telah diaplikasikan di ladang Farm Fresh di Muadzam Shah melibatkan penggunaan teknologi e-collar yang membantu pihak ladang merekodkan data dan memantau prestasi lembu secara automatik seperti datanpengeluaran susu, dapat mengesan ternakan sakit secara tidak langsung untuk diasingkan dan seterusnya dapat mengurangkan risiko kerugian kepada syarikat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Beliau berkata penglibatan golongan muda dalam sektor penternakan juga akan terus diperkasa di negeri ini, dan melalui peruntukan Kerajaan Negeri sebanyak 161 lembu wagyu telah diimport daripada Australia.
“Walaubagaimanapun, pada masa ini kos penggunaan peralatan berasaskan IoT ini tinggi dan menyukarkan penternak untuk penggunaannya terutama penternak berskala kecil dan sederhana.
“Selain itu, penglibatan golongan muda dalam sektor penternakan akan terus diperkasa dalam program yang dirancang oleh pihak jabatan.
“Sehubungan dengan itu, program yang sedang dilaksana oleh pihak kerajaan membabitkan teknologi genetik dan kompentensi bagi penghasilan produk premium melibatkan Projek Penghasilan Baka Ternakan Premium Lembu Wagyu Negeri Pahang atau singkatannya Projek Wagyu Pahang dan latihan penyembelih profesional.
“Untuk makluman, pada Disember 2023 sebanyak 161 ekor lembu wagyu daripada Australia telah diimport oleh pihak Kerajaan Negeri menggunakan peruntukan pembangunan. Sehingga 9 Mei 2024, sebanyak 22 ekor anak lembu wagyu daripada 156 induk telah dilahirkan di ladang syarikat peneraju di Bukit Kajang, Raub.
“Projek Wagyu Pahang ini akan melibatkan penggunaan teknologi genomic dalam penghasilan baka wagyu tempatan,” katanya. -PAHANGMEDIA

