Oleh: Fairus Mohd
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 10 MEI 2024 : Seiring dengan hala tuju dan fokus utama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) iaitu memperkasakan industri akuakultur khususnya di negeri Pahang, Projek Pembangunan Integrasi Akuakultur (PPIA Sistem Sangkar Bersepadu) bernilai kira-kira RM6.89 juta sedang dilaksanakan bagi tahun 2024 melibatkan lima daerah, 11 kluster dan 43 orang peserta.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan, YB Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak berkata, melalui peruntukan yang disalurkan pada tahun 2024, sebanyak 272 petak sangkar tambahan sedang dibina (asal sedia ada sebanyak 484 sangkar).
“Selain itu terdapat bantuan lain seperti bakul sangkar baharu (menggantikan bakul yang telah reput), stor makanan, rumah operasi, pelbagai input ternakan, makanan ikan dan benih ikan untuk tempoh satu pusingan ternakan (enam hingga lapan bulan).
“Insya-Allah dijangkakan pengeluaran penternak ikan sangkar di 11 kluster tersebut akan dapat ditingkatkan dari 242 tan metrik setahun iaitu pengeluaran sedia ada yang bernilai RM4.84 juta kepada 378 tan metrik setahun yang bernilai RM7.56 juta apabila beroperasi kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Sementara itu rekod tangkapan menunjukkan peningkatan di mana rekod pendaratan Perikanan Tangkapan (laut) di Pahang pada tahun 2023 adalah 116,204 tan metrik yang bernilai RM910.4juta, berbanding pendaratan ikan pada tahun 2022 adalah 107,982 tan metrik yang bernilai RM794.4 juta.
“Bagi rekod pendaratan Perikanan Darat (sungai) di Pahang pada tahun 2023 adalah 1,920 tan metrik yang bernilai RM53.5 juta,berbanding pendaratan ikan pada tahun 2022 adalah 1,570 tan metrik yang bernilai RM36.8 juta. kenaikan tersebut adalah 22.3 peratus dari sudut kuantiti dan 45.4 peratus dari sudut nilainya.
“Manakala bagi rekod pengeluaran Akuakultur di Pahang pada tahun 2023 adalah 18,728 tan metrik yang bernilai RM354.1 juta berbanding pengeluaran ikan pada tahun 2022 adalah 19,970 tan metrik yang bernilai RM314.3 juta. Ia merupakan penurunan 6.6 peratus dari sudut kuantiti tetapi kenaikan 12.7 peratus dari sudut nilainya,” katanya yang menyatakan penurunan kuantiti adalah berikutan bencana banjir dan El Nino yang berlaku dalam tempoh tersebut.
Dalam pada itu, YB Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi berkata jumlah keseluruhan pengeluaran ikan makan merangkumi ketiga-tiga subsektor iaitu Perikanan Tangkapan (laut), Akuakultur dan Perikanan Darat (sungai) bagi negeri Pahang pada tahun 2023 ialah 136,853 tan metrik dengan nilai RM1.32 bilion.
“Ia merupakan peningkatan kira-kira enam peratus dari sudut kuantiti dan 15 peratus dari sudut nilai berbanding tahun 2022 iaitu 129,522 tan metrik yang bernilai RM1.15 bilion. Ia adalah yang tertinggi di pantai timur sekaligus mengekalkan status negeri Pahang sebagai peneraju perikanan di Pantai Timur,” katanya. -PAHANGMEDIA

