Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 10 MEI 2024 : Kerajaan Negeri Pahang telah mengenalpasti sumber mineral unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di Lipis, Raub, dan Bentong yang dianggarkan bernilai RM80 bilion.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) ini menganggarkan terdapat kira-kira 1.4 juta tan NR-REE di kawasan berkenaan.
“Mengikut laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Mineral dan Geosins yang banyak ialah di Lipis, di Raub, dan juga di Bentong ada sikit NR-REE.
“Dan saya difahamkan dan mengikut rekod yang ada pada saya, ada lebih kuranglah tapi ini yang sumber daripada JMG, ada 1.4 juta tan hasil (NR-REE) kalau kita convert into RM lebih kurang RM80 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka, YB. Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika sesi pertanyaan kepada Menteri Besar pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri Pahang juga telah membuat lawatan ke projek rintis perlombongan NR-REE di Perak pada September lepas.
“Saya dengan beberapa kepimpinan Kerajaan Negeri telah pun melawat ke satu tapak di Perak pada 25 september yang lalu di mana ini merupakan lawatan kerja untuk melihat sendiri projek rintis perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif di Kenering daerah Hulu Perak di negeri Perak.
“Tujuan lawatan tersebut adalah untuk melihat serta mempelajari teknik perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif yang dilakukan tanpa menjejaskan alam sekitar.
“Susulan daripada itu Kerajaan Negeri telah mengenal pasti kawasan yang berpotensi untuk dijadikan projek printis NR-REE. Dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) Ke-13 pada tahun ini, dan pada 3 April yang lalu telah meluluskan cadangan projek printis NR-REE Negeri Pahang seluas 202 hektar di Sungai Wang Mukim Jelai daerah Lipis,” katanya.
Menjawab soalan tambahan daripada ADUN Kemayan, YB. Tuan Khaizulnizam Mohamad Zuldin mengenai adakah kaedah perlombongan NR-REE menjejaskan alam sekitar, beliau berkata ia memberi kesan minimum sahaja kepada alam sekitar.
“Daripada segi pemerhatian sayalah sebagai layman dan juga beberapa rakan yang lain daripada Kerajaan Negeri, kita mendapati teknik atau kaedah perlombongan yang digunakan di Perak tersebut tidak begitu menjejaskan alam sekitar, contohnya kalau kawasan tersebut 200 ekar mungkin dalam 10 ekar saja yang terlibat dan ada sedikit penebangan.
“Penebangan ini sangat minima tidak dibuat sesuka hati, ada control dan sebagainya dan ianya di pantau setiap masa terutama sekali supaya tidak berlakunya hakisan tanah, tanah runtuh dan sebagainya menggunakan kaedah dipanggil ISL (In-Situ Leaching) yang dilakukan dengan kesan minimum terhadap alam sekitar dan ianya ternyata berbeza dengan perlombongan tradisional yang dilakukan secara terbuka yang mengakibatkan banyak pokok yang ditebang,” katanya. -PAHANGMEDIA

