Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 10 MEI 2024 : Kerajaan Pahang akan meneliti dan menilai keperluan pembinaan gerai-gerai PLB di kawasan kampung untuk masyarakat setempat.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, penelitian itu perlu dilakukan bagi memastikan gerai-gerai PLB tersebut dapat benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat.
“Jadi penelitian seumpama itu kita terpaksa ambil kira melalui Pejabat Daerah, Pejabat Pembangunan Luar Banda atau pun agensi-agensi yang menyediakan peruntukan yang seumpama itu,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaanya daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, YB. Dato’ Sri Mohd Johari Hussain pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Beliau berkata, penelitian ini perlu dilakukan bagi memastikan tidak timbul isu sewa atas sewa di kalangan peniaga serta mengelakkan gerai-gerai tidak beroperasi yang menimbulkan kesulitan kepada penduduk kampung.
“Kita boleh runding, kita berpakatlah dengan DO, penghulu dan ketua kampung bagaimana hendak diorganisasikan gerai-gerai yang tidak berfungsi itu, ia boleh dirundingkan di peringkat daerah bahkan peringkat mukim,” katanya.
Pengorganisasian ini adalah perlu bagi memastikan setiap kemudahan yang telah disediakan oleh kerajaan dapat dimanfaatkan kepada pengguna khususnya penduduk setempat. – PAHANGMEDIA

