Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 10 MEI 2024 : Kerajaan Pahang melaksanakan Program Usahawan Suri Rumah dengan memberikan pendedahan kepada Teknologi IT bagi meningkatkan lagi ilmu pengetahuan golongan terbabit khususnya di dalam bidang perniagaan.
Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan berkata, para peserta dipilih berdasarkan kriteria-kriteria ditetapkan dengan memberi keutamaan kepada peserta Anggun Niaga dan Anggun Usaha bagi tahun 2022 dan 2023.
“Program ini diwujudkan bagi menambah pengetahun dan kemahiran serta memberi latihan insentif dalam bidang keusahawanan dan perniagaan secara atas talian (online).
“Melalui program yang disediakan, peserta akan dilatih menggunakan teknologi dan telefon pintar ke arah suri rumah celik digital,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaanya daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapa Haji Long pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Program ini juga akan mengajar suri rumah cara untuk memanfaatkan platform digital dan media sosial dalam mempromosikan serta menjalankan perniagaan atas talian termasuklah pengenalan kepada e-dagang, pengurusan media sosial, pemasaran kandungan dan strategi pemasaran digital untuk menarik pelanggan sekali gus meningkatkan penjualan.
Katanya, menerusi program ini juga peserta bukan sekadar dapat meningkatkan literasi digital tetapi turut memperoleh kemahiran praktikal yang dapat menyumbang kepada peningkatan pendapatan. – PAHANGMEDIA

