Oleh: Fairus Mohd
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 10 MEI 2024 : Sebanyak 600 permohonan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) dikemukakan oleh pengusaha ikan sangkar di sepanjang Lembangan Sungai Pahang kepada pihak pentadbir tanah di tujuh buah daerah di negeri ini.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan, YB Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak berkata, kelulusan adalah tertakluk kepada Pihak Berkuasa Negeri (PBN) maklumat dan ulasan dari jabatan teknikal serta lokasi sangkar yang ingin dibina termasuk tidak berada di kawasan rizab sungai dan sebagainya.
“Sehingga akhir tahun lalu sebanyak 33 lesen yang dikeluarkan kepada pengusaha di Temerloh, 12 lesen di Bera, 45 di Jerantut, 13 di Lipis, 50 di Maran, 10 di Pekan dan di daerah Rompin walaupun tidak terlibat dengan jajaran Sungai Pahang, kita terima 37 permohonan untuk mengusahakan kolam dan sangkar ikan dan 12 daripadanya telah menerima keputusan.
“Kadar bayaran yang ditetapkan kepada LPS bagi tujuan sangkar ikan adalah RM50 per hektar dan bayaran setiap pemohon bergantung kepada kelulusan keluasan berdasarkan kadar tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Kuala Semantan, YB Tuan Hassanuddin Salim sesi soal jawab sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Sementara itu ketika menjawab soalan tambahan ADUN Kuala Semantan berkenaan tempoh pembaharuan LPS yang mengambil masa yang agak lama, beliau berkata setiap permohonan akan diteliti setiap tahun termasuk permohonan untuk memperbaharui LPS.
“Kadang-kadang ada lokasi terlibat dengan perancangan pembangunan dan sebagainya, contohnya kawasan sangkar itu terlibat dengan projek tebatan banjir, terlibat laluan keretapi (ECRL), bina jambatan atau terjadinya beting pasir akibat cuaca kemarau.
“Jadi penelitian kena buat setiap tahun, kita tak mahu ada masalah selepas diluluskan kerana akan ada perubahan berlaku termasuk secara semulajadi iaitu keadaan semasa sungai itu sendiri,” katanya -PAHANGMEDIA

