Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Radin Mohd Norhilmi
KUANTAN, 09 MEI 2024 : Kerajaan Negeri Pahang telah memberikan peruntukan sebanyak RM665,714 kepada 34 pengusaha di bawah Program Agropreneur Muda.
Menurut Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak, program melalui Jabatan Perikanan Negeri Pahang ini telah dimulakan sejak 2017.
“Program ‘Agropreneur Muda’ yang dilaksanakan oleh Kerajaan (melalui Jabatan Perikanan Negeri Pahang) adalah bertujuan untuk membantu dan menarik minat golongan belia menceburi bidang perikanan.
“Skop bantuan Program Agropreneur Muda di bawah bidang perikanan adalah meliputi projek akuakultur, penangkapan ikan di laut, pembenihan ikan, ikan hiasan dan pemprosesan produk perikanan setelah memenuhi syarat-syarat kelayakan yang ditetapkan.
“Pada tahun 2017 sehingga kini, seramai 34 orang pengusaha telah pun menerima bantuan Program ‘Agropreneur Muda yang terdiri daripada pelbagai projek perikanan tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM665,714,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, YB. Dato’ Rodzuan Zaaba berkaitan bentuk dan jumlah bantuan ditawarkan oleh Kerajaan kepada golongan belia bagi menceburi bidang pertanian ketika sesi pertanyaan kepada Menteri Besar pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Selain itu, beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pahang menawarkan bantuan geran pemadanan merangkumi skop ternakan dan peralatan ladang.
Beliau berkata di bawah Program Agropreneur Muda di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memberi keutamaan kepada pemohon yang sedang melaksanakan projek.
“Insentif yang diberikan adalah dalam bentuk geran penuh tanpa bayaran balik bernilai RM20,000 dan pembiayaan pinjaman sehingga RM50,000 bagi yang layak,” katanya. -PAHANGMEDIA

