Oleh: Fairus Mohd
Foto: Radin Mohd Norhilmi
KUANTAN, 9 MEI 2024 : Seramai 2,258 usahawan mikro di negeri ini telah menerima manfaat Skim Pembiayaan Kewangan Usahawan Mikro Negeri Pahang (i-PUSH) yang dilaksanakan Kerajaan Negeri sebagai usaha dan komitmen dalam membantu para usahawan dari pelbagai aspek sama ada kewangan mahupun pembangunan fizikal.
Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam berkata, angka berkenaan melibatkan fasa pertama dan kedua yang dilaksanakan sejak dua tahun lepas.
“Berdasarkan rekod terkini, bidang perniagaan utama yang diceburi oleh pemohon Skim i-PUSH terdiri daripada usahawan dalam bidang perkhidmatan penyediaan makanan dan minuman sebanyak 2,478 pemohon bersamaan 43.4 peratus daripada jumlah keseluruhan permohonan yang diterima.
“Penerima pembiayaan i-PUSH diberi tempoh moratorium selama satu tahun sebelum bayaran balik mula dikuatkuasakan dan untuk makluman sehingga kini, semua penerima bagi kedua-dua fasa masih tertakluk dalam tempoh moratorium yang diberikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Beserah, YB Tuan Haji Andasura Rabu pada sesi soal jawab sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini. -PAHANGMEDIA

