Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Radin Mohd Norhilmi
KUANTAN, 9 MEI 2024 : Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) merancang untuk memperkenalkan kaedah temujanji secara digital melalui aplikasi HoSHAS bagi memudahkan pesakit dan waris membuat pengesahan kehadiran ke Klinik Pakar tanpa perlu hadir ke hospital.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Tuan Ir Razali Kassim berkata, tindakan ini dirancang bagi mengurangkan kesesakan kenderaan pada Isnin hingga Jumaat semasa Klinik Pakar Hospital beroperasi terutamanya pada waktu puncak pada jam 8 pagi hingga 12 tengahari.
“Sebagai langkah mengawal kemasukan kenderaan oleh waris serta pesakit, HoSHAS telah mengadakan kaedah temujanji berperingkat di Klinik Pakar iaitu pesakit hanya boleh mendaftar 30 minit lebih awal sebelum waktu temujanji agar jumlah pesakit ini dapat dikawal dengan lebih teratur dan memberi ruang kepada waris serta pesakit merancang perjalanan ke hospital,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaanya daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Semantan, YB. Tuan Hassanuddin Salim pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Selain itu, HoSHAS juga telah melaksanakan polisi dalaman di mana kakitangan hospital tidak dibenarkan meletak kenderaan di kawasan parkir di hadapan Klinik Pakar sehingga jam 2 petang bagi memberi kemudahan kepada waris pesakit meletak kenderaan mereka.
“Kakitangan hospital diarahkan untuk meletak kenderaan mereka di kawasan parkir yang disediakan di belakang hospital yang berkapasiti 120 petak parkir yang telah siap dibina pada Ogos 2021,” katanya.
Sehingga kini, HoSHAS yang merupakan Hospital Berpakar Major menyediakan kapasiti 650 katil kepada pesakit dengan mempunyai sebanyak 678 petak parkir bagi kemudahan waris dan pesakit. – PAHANGMEDIA

