Oleh: Fairus Mohd
Foto : Radin Mohd Norhilmi
KUANTAN, 9 MEI 2024 : Sistem MyCorporate Care (MyCC) dan Modul Keperluan yang dibangunkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapat menggalakkan penglibatan syarikat swasta, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Badan Berkanun untuk membantu serta menyalurkan sumbangan melalui pelaksanaan program Corporate Social Responsibilities (CSR).
Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan berkata ia merupakan satu kaedah alternatif untuk mendapatkan sumbangan oleh pusat jagaan atau Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) yang berdaftar berdasarkan keperluan yang dikehendaki selain daripada menggunakan kaedah yang sedia ada.
“Modul ini membantu penyumbang untuk mengetahui keperluan sebenar yang disenaraikan oleh PSK untuk membuat sumbangan yang bersesuaian dan menepati keperluan PSK melalui kaedah suai padan.
“Ia juga memastikan sumbangan diberikan kepada PSK yang berkelayakan dan berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dan Akta Pusat Jagaan 1993,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Batu Talam, YB Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram pada sesi soal jawab sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Dalam pada itu YB. Dato’ Sabariah berkata, manfaat melalui kolaborasi serta bantuan yang diberikan sangat berguna kepada golongan sasar yang mendapat perkhidmatan di Pusat Jagaan seterusnya menjadi pemangkin kepada Pengendali Pusat Jagaan untuk meneruskan operasi.
“Selain itu, segala sumbangan dapat diperluaskan supaya semua yang layak dapat menikmati manfaat dan sumbangan tidak tertumpu kepada Pusat Jagaan di sekitar bandar sahaja tanpa mengira Pusat Jagaan di luar bandar yang lebih memerlukan.
“Pusat Jagaan yang kurang berkemampuan dapat menjalankan dan meneruskan operasi lebih baik dan lancar sekaligus memberi implikasi positif bukan sahaja kepada Pusat Jagaan setempat malah kepada seluruh Pusat Jagaan di negeri Pahang. -PAHANGMEDIA

