Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Radin Mohd Norhilmi
KUANTAN, 9 MEI 2024 : Kerja-kerja pembangunan kilang pembuatan peluru pertama di Malaysia yang dilaksanakan di Daerah Lipis kini mencapai 82 peratus dan dijangka siap sepenuhnya untuk beroperasi pada suku akhir 2024.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pembinaan kilang pembuatan peluru tersebut merupakan antara pelaburan berpotensi di kawasan Perindustrian Padang Tengku Fasa II di mana terdapat dua syarikat yang berminat untuk memajukan projek berasaskan industri pertahanan di lokasi berkenaan.
“Selain itu, terdapat satu lagi pelaburan berpotensi bakal bertapak di Kawasan Perindustrian Padang Tengku Fasa II iaitu Kilang Kereta Perisai oleh MILDEF International Sdn Bhd. Tapak projek tersebut telah diluluskan kepada PSK manakala agensi pelaksana projek adalah PKNP.
“Kini pihak syarikat sedang dalam rundingan memuktamadkan pelaburan dan dijangka mula melabur apabila pelaburan Fasa 1 daripada Kilang Peluru Ketech Asia Sdn Bhd beroperasi sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaanya daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapa Haji Long pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, pagi tadi.
Jelasnya, pelaburan pembuatan peluru bernilai RM150 juta itu bakal membuka 150 peluang pekerjaan baru kepada orang ramai khususnya penduduk tempatan.
Menjawab soalan tambahan daripada YB. Dato’ Mustapa beliau berhubung masalah bekalan air di kawasan Bandar Pertahanan, beliau berkata, pihak kerajaan telah pun mengadakan perbincangan dengan Pengurusan Air Pahang (PAIP) bagi mengelakkan sebarang kesulitan berkaitan.
“Bersabit tentang bekalan air, saya telah difahamkan oleh PAIP rundingan sedang dijalankan untuk memastikan bekalan air tidak menimbulkan masalah apabila kilang ini dibina di kawasan Padang Tengku,” katanya.
Tambahnya, pelaksanaan projek pembangunan terutamanya pelaburan komersial akan menjadi pemacu kepada peningkatan ekonomi setempat, limpahan ekonomi, penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan, membuka ruang perniagaan tempatan dan peningkatan perbelanjaan pelancongan dan rekreasi di Daerah Lipis. – PAHANGMEDIA

