Oleh: Fairus Mohd
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 8 MEI 2024 : Kerja-kerja menaiktaraf jambatan gantung Kampung Dala di Temerloh kini dalam permohonan peruntukan dan perubahan spesifikasinya nanti akan dipertimbangkan bagi mengelak ia terus rosak akibat dilanda banjir.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, perkara berkenaan telah diberi perhatian sewajarnya bagi keselesaan dan kemudahan pengguna terutamanya penduduk setempat.
“Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh telah membuat lawatan tapak dan anggaran kos bagi cadangan kerja-kerja menaiktaraf jambatan gantung Kampung Dala dan permohonan Projek Mesra Rakyat (PMR) Fasa 2,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Lanchang, YB Tuan Hasan Omar dan soalan tambahan daripada pada sesi soal jawab sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Menjawab soalan tambahan dari ADUN sama berkenaan kerosakan jambatan akibat kayu dan sampah bersaiz besar dibawa arus dan air tinggi ketika banjir, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim berkata usaha terbaik akan diambil bagi memastikan jambatan berkenaan dibina dengan selamat dan tidak kembali rosak terutamanya akibat musim banjir. – PAHANGMEDIA

