Oleh : Nurul Amylea Maisarah Abdul Halim
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 8 MEI 2024 : Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang menerima sebanyak RM262.58 juta peruntukan Kumpulan Wang Amanah Penyelenggaraan Jalan Negeri (MARRIS) pada tahun lalu.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kesihatan Dan Kerajaan Tempatan Negeri Pahang YB. Tuan Ir Razali Kassim berkata peruntukan tersebut telah digunakan bagi pembaikan dan penyelenggaraan jalan di seluruh negeri Pahang.
“Setakat 30 April tahun ini, pengagihan kali pertama yang diterima oleh JKR Pahang adalah sebanyak RM104,595,000. Pengagihan peruntukan MARRIS di peringkat JKR Negeri Pahang adalah mengikut keutamaan dan keperluan kerosakan jalan di daerah serta panjang jalan yang berdaftar dengan sistem MARRIS.
“Daripada pengagihan kali pertama yang diterima, sebanyak 191 kerja telah diluluskan untuk tujuan penyelenggaraan dan pembaikan jalan yang merangkumi cerun runtuh, jalan mendap, pembaikan jambatan dan lain-lain yang berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Pulau Manis, YB Tuan Mohamad Rafiq Khan Ahmad Khan pada sesi soal jawab sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Sementara itu, YB. Tuan Ir Razali Kassim berkata penganggihan peruntukan MARRIS untuk jalan ini mempunyai beberapa peringkat pengagihan dan bukan hanya sekali sahaja dalam setahun.
“Pengagihan peruntukan MARRIS ini mempunyai agihan peringkat pertama, kedua dan biasanya dapat tiga kali. Jadi dalam tempoh pengagihan tersebut, sekiranya berlaku mana-mana kerosakan pihak jabatan ataupun pihak agensi ini boleh pertimbangkan untuk membaiki segala kerosakan dalam agihan-agihan tersebut,” katanya.
Ia menjawab soalan tambahan daripada YB Tuan Mohamad Rafiq Khan yang bertanya mengenai kerja pembaik pulih segera jalan raya yang berlubang dan boleh menyebabkan kemalangan terhadap pengguna jalan raya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa pihak JKR Daerah telah mengenalpasti lokasi-lokasi yang berlaku mendapan dan tanah runtuh dan kerja-kerja akan dilaksanakan segera setelah mendapat kelulusan.
“Sebagai contoh, mendapan yang berlaku di Jalan Pelak-Belimbing, C106. Kerja penyelenggaraan akan dilaksanakan menggunakan peruntukan pengagihan kali pertama MARRIS. Kerja penyelenggaraan dijangka bermula pada 6 Mei 2024 dengan kos penyelenggaraan sebanyak RM2.6 juta,” katanya. -PAHANGMEDIA

