Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 08 MEI 2024 : Kerajaan Negeri Pahang melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang melaksanakan perancangan jangka masa panjang dalam mengatasi masalah hakisan pantai di negeri ini.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata Kerajaan Negeri sedang mengenal pasti isu dan kaedah penelesaian melalui pelan pengurusan garis pantai bersepadu.
“Dalam kajian ini SMP Pahang yang pertama telah disiapkan pada tahun 2005 dan kajian semula SMP Pahang ini sedang dalam pelaksanaan dan dijangkakan siap pada Oktober 2025 dan kajian-kajian tersebut mengambil kira isu-isu berkaitan masalah hakisan di muara dan juga di setiap pantai di persisiran pantai di negeri kita,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, YB. Dato’ Sri Johari Hussain berkaitan hakisan pantai yang berlaku di Rompin ketika sesi pertanyaan kepada Menteri Besar pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri melalui JPS telah pun mengemukakan permohonan bagi menghalang hakisan pantai dari berlaku dan akan mengemukakan sekali lagi permohonan sama pada Rolling Plan Ke-5 Rancanga Malaysia Ke-12 (RMK12).
Beliau berkata buat masa ini antara kawasan di Rompin yang dikenalpasti mengalami hakisan adalah Kampung Genting Tioman, Kampung Salang Tioman, Kampung Air Batang Tioman, Kampung Bernas, Pantai Pisang Teluk Gading, Pantai Sungai Lumpur Kampung Jawa, Pantai Kampung Selingki, dan Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Kampung Kuala Pontian.
“Antara projek hakisan pantai yang telah siap dilaksanakan di daerah Rompin adalah projek adalah Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Pantai Tanjung Pahang, dan keduanya Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Pulau Kampung Mukut di Pulau Tioman.
“Bagi projek dalam pelaksanaan pula adalah Projek Mencegah Hakisan Pantai di Kompleks Rakan Muda Sukan Air di Rompin.
“Kerajaan Negeri bersama JPS melalui Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) giat menjalankan kajian bagi mengatasi malasah hakisan pantai kita di Negeri Pahang ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

