Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 06 MEI 2024 : Kerajaan Negeri Pahang telah berjaya mengurangkan jumlah kemiskinan tegar sebanyak 60.08 peratus iaitu kepada 1,946 orang menjelang Disember tahun lepas berbanding 4,968 orang pada Januari tahun sama.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertitah kejayaan pengurangan ini adalah hasil daripada usaha Kerajaan Negeri Pahang memberi pelbagai bentuk bantuan, sumbangan dan inisiatif secara berterusan.
“Di kesempatan ini beta menzahirkan ucapan tahniah kepada kerajaan beta kerana telah berjaya mengurangkan jumlah kemiskinan tegar pada tahun 2023, iaitu daripada 4,968 orang pada bulan Januari, kepada 1,946 orang pada bulan Disember dengan pengurangan sebanyak 60.08 peratus.
“Kejayaan pengurangan ini adalah hasil daripada usaha kerajaan beta dalam memberi pelbagai bentuk bantuan, sumbangan dan inisiatif secara berterusan serta projek-projek pembangunan yang secara langsung membuka peluang pekerjaan dan meningkatkan ekonomi rakyat beta.
“Oleh itu, beta mahu program dan inisiatif harus diteruskan serta dirancang dengan sebaik-baiknya bagi meningkatkan kualiti hidup golongan yang memerlukan dan tiada kelompok masyarakat yang terpinggir dari arus pemodenan dan pembangunan di negeri beta,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Paduka Baginda dalam titah turut menyeru Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang agar sentiasa menghayati, melindungi, memelihara dan mempertahankan perlembagaan persekutuan serta undang-undang tubuh Kerajaan Negeri Pahang.
“Pada pagi yang bahagia ini, beta mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada semua ahli-ahli berhormat atas usaha berterusan dalam memakmurkan negeri beta.
“Beta juga melafazkan ucapan terima kasih kepada orang tua beta, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, ahli-ahli Dewan Negeri, ketua-ketua jabatan, dan semua kakitangan awam yang terlibat dalam urusan mentadbir kerajaan beta untuk faedah rakyat beta keseluruhan,” titah baginda. -PAHANGMEDIA

