Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 06 MEI 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menzahirkan rasa sukacita dengan pelaksanaan Program Rumah Rakyat Pahang (RRP) di negeri ini.
Paduka Baginda bertitah pemberian Rumah Rakyat Pahang yang bernilai RM75,000 sebuah diberi secara percuma kepada rakyat dalam kategori miskin atau miskin tegar di negeri ini.
“…beta amat gembira dengan pelaksanaan Program Rumah Rakyat Pahang (RRP) sejak tahun 2020 sehingga ke hari ini yang diberikan secara percuma kepada rakyat beta yang dikategorikan sebagai miskin atau miskin tegar yang tidak memiliki rumah, atau rumah yang didiami terlalu uzur untuk dibaiki. Rumah tersebut dibina dengan kos RM75,000 seunit dan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan beta.
“Beta turut dimaklumkan kerajaan beta turut menyediakan 120 unit Rumah Rakyat Pahang secara percuma kepada penduduk Orang Asli yang menelan belanja sebanyak RM9 juta.
“Bukan itu sahaja, kerajaan beta juga turut menyalurkan RM2,000 kepada setiap penerima Rumah Rakyat Pahang untuk pembelian peralatan isi rumah yang asas dengan jumlah peruntukan keseluruhan berjumlah RM940,000,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat
Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Paduka Baginda turut bertitah sebanyak 274 Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) akan diteruskan pada tahun ini melibatkan peruntukan RM25.03 juta.
“Selain itu, sebagai keprihatinan terhadap rakyat beta yang dikasihi, sebanyak 274 Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) akan diteruskan pada tahun ini melibatkan peruntukan sebanyak RM25.03 juta.
“Projek Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) turut memberi fokus kepada pemilikan rumah untuk golongan b40 di Negeri Pahang,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa bangga dengan usaha Kerajaan Negeri Pahang dalam memastikan kebajikan rakyat di negeri ini terjaga.
“Beta cukup berbangga dengan usaha kerajaan beta dalam memastikan kebajikan rakyat beta tidak pernah dilupakan. Seperti mana tahun sebelumnya, Bantuan Prihatin Pahang (BPP) diteruskan dengan 20 jenis bantuan melibatkan peruntukan sebanyak RM38.08 juta.
“Beta percaya berdasarkan prestasi cemerlang yang dicapai, kerajaan beta berupaya untuk meneruskan lagi program-program bantuan seperti ini bagi memastikan lebih ramai lagi rakyat beta yang dihimpit kemiskinan terus mendapat perhatian yang sewajarnya,” titah baginda. -PAHANGMEDIA

