Oleh : Fairus Mohd
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 6 MEI 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada anakanda baginda Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sepanjang lima tahun memikul tugas baginda menjaga Kerajaan Negeri Pahang.
“Saya ingin mengambil kesempatan merakamkan ucapan terima kasih kepada anakanda saya, Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang yang telah memegang tugas dan tanggungjawab sebagai Pemangku Raja Pahang selama lima tahun sewaktu saya menjadi Yang di-Pertuan Agong.
“Ucapan terima kasih juga kepada semua khususnya YAB Menteri Besar Pahang, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri yang telah bagi segala dorongan, sokongan dan tunjuk ajar sepanjang tugasan anakanda saya sebagai Pemangku Raja Pahang. Mudah–mudahan anakanda saya akan dapat pelajari selok belok tentang urusan dan tadbir urus sesebuah negeri, negeri Pahang ini,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini. – PAHANGMEDIA

