Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 06 MEI 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertitah supaya segala karenah birokrasi yang menyebabkan kelewatan dalam proses membawa masuk pelaburan tidak perlu berlaku di negeri ini.
Paduka Baginda bertitah, ini bagi menjadikan Pahang sebagai negeri mesra pelabur serta mampu meningkatkan tahap kecekapan semua jabatan.
“Bagi meningkatkan usaha membawa pelaburan masuk ke Pahang, beta menitahkan supaya segala karenah birokrasi yang menyebabkan kelewatan di dalam proses permohonan sama ada di peringkat Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan tidak berlaku.
“Dengan cara ini, ia bukan sahaja menjadikan negeri beta sebagai negeri mesra pelabur (ease doing business) malah mampu mempertingkatkan tahap kompetensi dan kecekapan semua jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat,” titah baginda.\
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini
Baginda turut menzahirkan rasa bangga dengan pelaburan yang diterima Kerajaan Negeri Pahang sepanjang tahun 2023.
“Peranan pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan domestik (DDI) adalah antara pemangkin utama ekonomi Negeri Pahang. Beta amat berbangga dengan pencapaian kerajaan beta sepanjang tahun 2023, di mana negeri ini menerima banyak cadangan pelaburan dari dalam dan luar negara meliputi negara China, Singapura, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Australia, New Zealand dan lain-lain.
“Sehingga Disember 2023, kerajaan beta telah berjaya memuktamadkan beberapa pelaburan komited dengan nilai pelaburan sebanyak RM11.66 bilion, yang merupakan 70.9 peratus daripada nilai keseluruhan pelaburan komited (RM16.44 bilion) yang telah berjaya dibawa masuk oleh kerajaan beta.
“Sehubungan itu, beta berharap agar cadangan-cadangan ini dapat dipertimbangkan dan dimuktamadkan sebaiknya bagi menggalakkan perkembangan ekonomi dan sosial Negeri Pahang,” titah baginda. -PAHANGMEDIA

