Oleh: Fairus Mohd
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 6 MEI 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah memuji prestasi ekonomi dan pembangunan negeri yang begitu memberangsangkan.
Titah baginda, ia dapat dilihat melalui Belanjawan Negeri Pahang 2024 bertemakan Pahang Prihatin, Rakyat Makmur di mana sejumlah RM1.125 billion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus iaitu peningkatan RM54 juta atau 5.05 peratus berbanding tahun sebelumnya yang berjumlah RM1.071 billion.
“Sejumlah RM2.61 bilion telah dibelanjakan bagi melaksanakan 548 projek di Pahang iaitu 99.11 peratus daripada peruntukan tahun 2023 di bawah Rolling Plan Ketiga (RP3) Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12).
“Di samping itu, kerajaan beta turut memperuntukkan sejumlah RM303.272 juta bagi melaksanakan 211 projek pembangunan negeri dan perbekalan air pada tahun 2023 selain peruntukan sebanyak RM301.29 juta untuk tahun 2024 bagi pelaksanaan 249 projek infrastruktur serta projek–projek bekalan air di seluruh negeri Pahang dengan objektif meningkatkan lagi kemudahan asas, keselesaan dan taraf hidup rakyat,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Dalam pada itu, baginda dalam titah turut berharap pelaksanaan projek-projek yang telah diluluskan di negeri ini akan berjalan dengan lancar dan akan memberi manfaat kepada rakyat apabila siap kelak. – PAHANGMEDIA

