Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 06 MEI 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertitah supaya kaedah penyebaran dakwah di negeri ini dilaksanakan selari dengan perkembangan teknologi.
Paduka Baginda turut menyeru lebih banyak program kesedaran dan aktiviti dakwah dijalankan di negeri ini di semua peringkat dan kawasan.
“Beta berharap, kerajaan beta sentiasa menerapkan konsep menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran yang merupakan asas kepada ajaran Islam untuk menjadikan Negeri Pahang terus makmur dan sejahtera. Oleh itu, beta menyeru agar lebih banyak program-program kesedaran dan aktiviti dakwah diadakan.
“Selari dengan perkembangan teknologi masa kini, kaedah penyebaran dakwah juga haruslah berubah seiring dengan perkembangan teknologi dengan melaksanakan pelbagai inovasi dan perubahan, mencari kaedah-kaedah baru tanpa meninggalkan asas-asas yang telah diajarkan oleh agama islam itu sendiri.
“Selain itu, beta berharap Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) mengambil inisiatif dengan memperluaskan metodologi dakwah bil hal melalui pelaksanaan program-program di semua peringkat sama ada di kawasan bandar, kawasan pedalaman mahupun di kawasan penempatan Kampung Orang Asli,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
KDPB Al-Sultan Abdullah dalam titah turut menzahirkan rasa bangga denga usaha Kerajaan Negeri Pahang menyalurkan sumbangan kepada setiap jemaah haji di Pahang.
“Dalam pada itu, beta juga turut berbangga dengan usaha kerajaan beta menyalurkan sumbangan berupa wang tunai berjumlah RM750 serta pek makanan Juadah Makmur ‘ready to eat’ kepada setiap jemaah haji negeri ini yang akan menunaikan rukun Islam kelima pada tahun ini menerusi Program Barakah Haji Pahang.
“Beta berharap usaha murni seperti ini dapat diteruskan pada tahun-tahun seterusnya bagi meraikan jemaah haji negeri ini yang akan berangkat ke Tanah Suci,” titah baginda. – PAHANGMEDIA

