KUANTAN, 1 MEI 2024 : Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menafikan aduan awam bahawa berlakunya pembalakan haram di Bukit Beserah seperti yang disiarkan di sebuah akhbar tempatan, semalam.
JPNP dalam satu kenyataan memberitahu bahawa pihaknya telah membuat semakan dan mendapati bahawa pembalakan dilakukan di kawasan berstatus tanah milik malah tiada sebarang aktiviti tebangan luar kawasan lesen dan kesalahan hutan dilakukan oleh pelesen.
“Sebuah syarikat telah diberikan lesen selama tiga bulan bagi mengeluarkan kayu balak dan saki-baki kayu di kawasan seluas 3.2425 hektar.
“Had pengeluaran bagi lesen ini telah ditetapkan pada 397.83 meter persegi dan had kayu jaras adalah 900 batang,” kata kenyataan itu.
JPNP juga akan terus menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa ke atas kawasan ini bagi memastikan aktiviti pengusahasilan yang dijalankan adalah mematuhi peraturan yang digariskan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 serta Standard Operating Procedure (SOP) bagi Garis Panduan Pemuatan dan Pengangkutan Kayu Balak 2019. -PAHANGMEDIA

