Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 24 APRIL 2024 : Kerajaan Pahang menerima Kunjungan Hormat daripada Delegasi 3 SUKMA dan Para SUKMA XXI Sarawak 2024 di Bilik Gerakan Negeri, Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Pahang, pagi tadi.
Wakil YAB Menteri Besar Pahang, Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, kunjung hormat ini menunjukkan kesungguhan Kerajaan Negeri Sarawak untuk menjayakan SUKMA 2024 yang dijadualkan pada Ogos depan.
“Kita melihat kesungguhan mereka dan sudah pasti Kerajaan Negeri Pahang akan menyokong penuh memastikan kelancaran acara sukan yang cukup berprestij di negara ini.
“Dan menunjukkan komitmen di mana akan menyertai 36 acara sukan daripada keseluruhan 37 sukan yang akan dipertandingkan di Sarawak nanti, cuma 1 acara sukan kita tidak dapat sertai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mewakili YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada Majlis Kunjung Hormat Delegasi 3 SUKMA dan Para SUKMA XXI Sarawak 2024 di Bilik Gerakan Negeri, Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Pahang.
Delegasi Sarawak diwakili Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, YB. Dato’ Mohammad Razi Sitam dan Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (Pembangunan Usahawan), YB. Dato’ Dr. Ripin Lamat.
Pada SUKMA XXI Sarawak 2024, Pahang menghantar seramai 603 atlet dengan keseluruhan kontinjen seramai 884 orang termasuk pengurus pasukan dan jurulatih.
Atlet Pahang bakal berentap pada SUKMA Sarawak 2024 yang akan diadakan di sembilan lokaliti di seluruh Sarawak.
YB. Tuan Fadzli berkata, Pahang serius untuk memperbaiki kedudukan berbanding kejohanan pada temasya SUKMA XX (MSN) 2022 lalu di mana Pahang berada di tangga kesembilan.
Majlis Sukan Pahang (MSP) juga akan berkunjung ke Sarawak pada bulan depan bagi memastikan kelancaran logistik pada SUKMA XXI Sarawak nanti.
Sementara itu, YB. Dato’ Mohammad Razi Sitam berkata, Sarawak kini sedang bersedia melengkapkan keperluan fizikal bagi memastikan kemudahan dapat disediakan dengan baik pada temasya itu nanti. – PAHANGMEDIA

