Oleh : Fairus Mohd
KUANTAN, 23 APRIL 2024 : Mesyuarat Majlis Kerjasama Bersama Ke-5 Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) dan Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia (CMQIP) di Qinzhou, China dilihat membuka lebih banyak ruang kerjasama dan pelaburan ke negeri ini.
Pada mesyuarat yang menjadi agenda kemuncak siri lawatan ke China sejak 20 April lalu, YAB Menteri Besar Pahang Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkesempatan membentangkan beberapa cadangan berkenaan jalinan kerjasama antara dua pihak.
Menurutnya, pelaksanaan taman perindustrian berkembar ini berkembang dengan begitu baik sejak 2014 dengan pelaburan yang direalisasikan dalam MCKIP ialah RM13.476 bilion selain telah mewujudkan lebih 10,000 peluang pekerjaan dengan 80 peratus adalah pekerja tempatan.
“Di bawah ‘Dua Negara, Taman Berkembar’ saya telah mengemukakan beberapa cadangan iaitu meningkatkan peranan MCKIP dan CMQIP sebagai pusat inovasi untuk sektor strategik, memanfaatkan industri sedia ada seperti besi dan keluli dan komponen kenderaan elektrik (EV).
“Ia dapat mewujudkan program latihan TVET serta pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) melalui kerjasama dengan universiti tempatan atau institut latihan di Pahang seperti Kolej Yayasan Pahang dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) atau memanfaatkan program sedia ada di bawah Akademi dalam industri,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook beliau hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, cadangan lain ialah mempromosikan Taman Logistik Antarabangsa Kuantan Malaysia-China (MCKLIP) sebagai hab bagi industri perkhidmatan 2.0 yang memberi tumpuan kepada industri logistik bersepadu, memanfaatkan Pelabuhan Kuantan, ECRL dan Lapangan Terbang Kuantan.
“Selain itu kita mahu mengukuhkan sinergi antara MCKIP dan CMQIP dengan memberi tumpuan kepada kedudukan kompetitif Malaysia sebagai peneraju minyak sawit serta peranan Pelabuhan Kuantan untuk memudahkan lebih banyak perdagangan minyak sawit dibawa masuk ke China melalui Pelabuhan Qinzhou,” katanya.
Sementara itu katanya, Kerajaan Negeri Pahang sentiasa memberi tumpuan terhadap insentif pelaburan dan kemudahan infrastruktur yang sedang ditawarkan dan ditambah baik untuk menarik pelabur domestik dan asing ke Pahang.
Tegasnya, Kerajaan Negeri komited untuk memberikan yang terbaik melalui sokongan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan selain berazam untuk memberi komitmen dan kerjasama penuh kepada semua pihak yang terlibat dalam Taman Perindustrian Negara yang pertama ini dengan hasrat untuk memastikan projek itu berjaya dan menjadi bukti pencapaian hubungan dua hala ini.
“Selama sepuluh tahun penubuhan kedua-dua taman perindustrian ini banyak kejayaan telah dicapai dan adalah diharapkan untuk sepuluh tahun yang akan datang lebih banyak kejayaan dan kemajuan akan dicapai di Pahang di bawah kerjasama strategik dua negara terutamanya dalam memberi fokus kepada pengeluaran komponen elektronik dan kenderaan elektrik (EV).
“Saya juga mengambil kesempatan ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada kepimpinan negara terdahulu terutamanya mantan Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak yang telah mencetuskan ilham penubuhan MCKIP – CMQIP sehingga ia terus berkembang dan memberi pelbagai kebaikan kepada negara khususnya kepada Negeri Pahang Darul Makmur,” katanya. -PAHANGMEDIA

