Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 19 APRIL 2024 : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Pahang telah berjaya menahan seorang lelaki berusia 45 tahun dan menyita barang rampasan bernilai kira-kira RM75,641 kerana disyaki melakukan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang, Puan Jezlily Jamaluddin berkata, lelaki berkenaan di tahan pada Rabu, ketika sedang membuat pemindahan minyak dari lori ke sebuah tangki skid di kawasan lombong di Muadzam Shah.
“Dalam Operasi OPS TIRIS 3.0 yang dilakukan pada waktu kira-kira jam 7.00 pagi tersebut, sepasukan penguat kuasa KPDN Pahang telah menjalankan risikan berdasarkan aduan awam yang diterima ke atas sebuah lori sindiket yang diubahsuai dengan tangki tambahan.
“Berdasarkan aduan awam tersebut, lori yang diubahsuai berkenaan telah menjalankan aktiviti mengutip minyak diesel bersubsidi di stesen-stesen minyak sekitar Kuantan untuk dijual secara haram kepada industri-industri yang memerlukan.
“Berdasarkan risikan yang dijalankan, lori berkenaan telah bertindak mengisi minyak sebanyak 4 kali di 3 buah stesen minyak di sepanjang jalan Pekan, Pahang. Pasukan Penguat Kuasa KPDN telah bertindak mengekori lori berkenaan sehingga ke sebuah lombong di Muadzam Shah dan ketika serbuan dilakukan mendapati individu yang disyaki sedang membuat pemindahan minyak dari lori ke sebah skid tank yang berada di kawasan lombong berkenaan,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurut beliau, pihaknya turut menyita minyak diesel yang cuba diseleweng, sebuah lori 3 tan, serta sebuah tangki skid bersama beberapa barangan lain pada serbuan berkenaan.
“Dalam serbuan tersebut KPDN Pahang telah bertindak menyita minyak diesel subsidi yang cuba diseleweng dan barangan lain yang berkaitan seperti minyak diesel pada tangki tambahan lori sebanyak 2,400 liter; minyak diesel dalam skid tank sebanyak 224 liter; sebuah lori 3 tan bersama tangki tambahan yang diubah suai; dan sebuah Skid tank berkapasiti 10,000 liter.
“Selain itu, kita turut merampas 1 unit motor pam; dan peralatan lain yang digunakan untuk aktiviti penyelewengan minyak subsidi dengan nilai rampasan keseluruhan bagi kes tersebut adalah sebanyak RM75,641.85,” katanya.
Menurut beliau lagi, suspek akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan dua kertas siasatan telah dibuka kepada individu ditahan dan pemilik skid tank yang disita kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak yang munasabah akan melakukan kesalahan serta tidak memiliki permit menyimpan barang kawalan petroleum.
Tambah beliau lagi, bermula 1 Januari sehingga 17 April pihak KPDN Pahang telah mengambil 25 tindakan berkaitan penyelewengan barang kawalan bersubsidi dengan nilai rampasan sebanyak RM896,085. -PAHANGMEDIA

