Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 14 MAC 2024 : Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) telah mengeluarkan 52 notis kepada pengedali makanan di bazar Ramadan seluruh negeri Pahang sepanjang dua hari dibuka bernilai RM5,950.
Menurut Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Tuan Ir. Razali Kassim, kesemua notis ini dikeluarkan hasil daripada pemeriksaan pihak JKNP terhadap 526 gerai.
“Untuk dua hari ini (Ramadan) sebanyak 526 gerai bazar Ramadan telah dibuat pemeriksaan dan terdapat 52 notis dikeluarkan. Daerah tertinggi yang menerima notis ini adalah Pekan dengan 27 notis.
“Antara kesalahan yang dikesan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 Akta Makanan 1983 ialah kesalahan di bawah Peraturan 32 iaitu pengendali makanan tidak memakai topi, apron dan kasut semasa mengendalikan makanan serta Peraturan 33 iaitu pengendali memakai perhiasan diri seperti jam tangan, cincin dan gelang ketika mengendalikan makanan.
“Selain itu, terdapat juga kesalahan di bawah Peraturan 30 iaitu pekerja tidak menghadiri kursus pengendali makanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Walkabout Kempen Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan Peringkat Negeri Pahang Tahun 2024 di Bazar Ramadan Mahkota Square yang turut dihadiri, Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YBhg. Datuk Dr. Rusdi Abd. Rahman.
Tambah beliau pihaknya juga turut mengambil 24 sampel makanan yang dilihat berisiko tinggi di bazar Ramadan dan analisis sampel akan diterima dalam tempoh dua minggu.
“…sampel makanan sedia dimakan telah diambil dan telah dihantar ke Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan Pahang bagi analisis mikrobiologi.
“Kita biasanya ambil secara rawak melihat kepada makanan berisiko iaitu makanan yang mudah rosak seperti makanan yang mengandungi santan, makanan seperti kerabu, serta air dan kuih berkelapa,” katanya.
Menurut beliau, pihak JKNP turut memeriksa 17 buah kilang ais dan mengeluarkan 11 notis di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 bernilai RM10,300.
“Inj kerana pemilik gagal mengadakan dan menyediakan Program Jaminan Keselamatan Makanan, pemilik juga tidak mengadakan sistem kebolehkesan makanan dan pengendali makanan tidak memakai apron semasa mengendalikan ais.
“Manakala dua premis diarahkan tutup di bawah Seksyen 11 Akta makanan 1983 kerana pemilik gagal memastikan premis dalam keadaan bersih,” katanya.
Beliau dalam masa yang sama meminta orang ramai menjadi mata-mata kepada pihak kesihatan dengan melaporkan sebarang salah laku atau kecurigaan berkaitan pengendali makanan dan makanan yang dijual di negeri ini.
“Kita mohon orang awam menjadi mata-mata untuk melaporkan apa-apa berkaitan dan Jabatan Kesihatan akan buat siasatan lanjut. Orang ramai boleh membuat laporan dengan mengimbas QR kod yang diletakkan pada setiap kain sepanduk di setiap bazar Ramadan.
“Diharapkan orang awam dan pengusaha makanan khususnya mendapat pendedahan l secukupnya tentang perkara-perkara asas keselamatan makanan,” katanya. -PAHANGMEDIA

