KUANTAN, 14 MAC 2024 : Kerajaan Negeri Pahang menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri pada hari ini, telah meluluskan Garis Panduan Perancangan Petak Pengecasan Kenderaan Elektrik (GPPEVCB) bagi Negeri Pahang.
Garis Panduan ini disediakan sebagai panduan seragam kepada Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan, pemilik bangunan, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, pemaju, orang perseorangan dan pihak berkepentingan bagi pemajuan petak pengecasan elektrik yang selamat.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Sehingga Disember 2023, sebanyak 55 stesen pengecasan telah beroperasi di Negeri Pahang iaitu di daerah Kuantan, Bentong dan Cameron Highlands.
“Stesen EV ini terletak di dalam pusat membeli-belah, tempat letak kereta, hotel serta resort untuk kegunaan awam.
“Pertambahan stesen EV dilihat dapat terus menarik kemasukan pelancong dan pemilik kenderaan elektrik berkunjung ke Negeri Pahang,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini
Dalam pada itu beliau menyifatkan melalui pemakaian garis panduan ini, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) boleh merujuk prosedur bagi membina stesen EV di semua daerah di Negeri Pahang.
Menurutnya lagi, ia juga akan menggalakkan sektor industri dan infrastruktur stesen pengecasan kenderaan elektrik mencapai sasaran sebanyak 350 EVCB menjelang 2025 di Negeri Pahang.
Laporan Low Carbon Mobility Blueprint (2021-2030) telah menetapkan sasaran pembinaan 10,000 stesen pengecasan Electric Vehicle (EV) awam menjelang tahun 2025 di seluruh negara.
Perkara ini juga adalah seiring dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara 2023 yang menyasarkan penggunaan EV sebanyak 38 peratus menjelang 2040 dan 80 peratus pada 2050. -PAHANGMEDIA

