Oleh : Fansurina Abdullah
LIPIS, 14 MAC 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah agar Institusi Masjid perlu menjadi tempat permulaan bagi membentuk masyarakat yang baik dan berakhlak.
Baginda bertitah, ini bertepatan dengan fungsi masjid atau rumah ibadah ketika zaman keagungan Islam suatu ketika dahulu agar dapat dikembalikan.
“Setiap umat Islam perlu mengabdikan diri di rumah Allah ini kerana amalan yang baik ini pastinya akan mendatangkan kebaikan sebagaimana firman Allah swt di dalam Surah Al-A’raf ayat 96 yang bermaksud sekiranya penduduk di negeri ini beriman dan bertakwa tentulah Kami akan membuka kepada mereka pintu pengurniaan yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan bercemar duli pada Majlis Perasmian Masjid Kampung Binjai dan Majlis Berbuka Puasa di Masjid Kampung Binjai di Lipis, hari ini.
Berangkat bersama, Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Turut mengiringi ialah YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin dan YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.
Hadir sama ialah YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Yaacob, barisan Exco Kerajaan Pahang dan Ketua-Ketua Jabatan.
Pada majlis sama, baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada 150 penerima dari Mukim Penjom.
Dalam titah, baginda turut menasihati rakyat agar dapat meningkatkan amal ibadah kita kepada Allah di bulan Ramadan.
“Jadikan masjid dan bulan ini sebagai perintis untuk kita melazimkan diri kita dengan ibadah kepada Allah.
“Isilah setiap saat dan detik hidup kita pada bulan Ramadan ini dengan amal ibadah seperti membaca Al-Quran, solat-solat sunat, berdoa, berzikir, bersedekah dan lain-lainnya,” titah baginda.
Baginda turut mengingatkan rakyat agar sentiasa menjaga kesihatan kerana ia merupakan kunci untuk melakukan ketaatan dengan sebaiknya. – PAHANGMEDIA

