Oleh : Fairus Mohd
KUANTAN, 8 MAC 2024 : YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail tidak mahu ambil pusing dengan gelaran ‘gangster’ yang dituju kepadanya ekoran tindakan tegas yang diambil terhadap pekebun haram di Cameron Highlands.
Menurutnya, terpulang kepada netizen untuk menilai kenyataan tular seorang bekas Ahli Parlimen yang menyatakan beliau ‘gangster’ kerana ia hanyalah kenyataan peribadi individu itu sahaja.
“Tak apa biar netizen menilai, dia seorang je cakap, orang lain tak cakap pun. Menteri Besar Pahang tak gengster,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Ramadan 1445H kepada masjid dan surau negeri Pahang anjuran Pejabat Menteri Besar Pahang dan Persatuan Amal Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Pahang (TERATAI).
Hadir sama Pengerusi TERATAI, Datin Sri Dato’ Burhah Mohammed, YB Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin, barisan Exco Kerajaan Negeri serta pemimpin setempat.
Dalam pada itu Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, Kerajaan Negeri mengambil tindakan tegas kerana pekebun terbabit bukan sahaja tidak mematuhi undang-undang, malah ia merosakkan alam sekitar.
“Tindakan tegas dilakukan kerana pekebun terbabit meneroka tanah secara haram dan sebagai kerajaan, aktiviti itu perlu dihentikan.
“Jika tidak dihentikan ia akan berleluasa dan intergriti kerajaan akan terjejas, tapi sebelum tindakan diambil, kita telah pun mengikut peraturan tertentu iaitu memberikan notis amaran,” katanya.
Sementara itu mengulas mengenai majlis yang diadakan, beliau berkata TERATAI menyumbangkan sejumlah RM168,000 kepada masjid dan surau negeri ini bersempena bulan Ramadan yang hampir tiba.
Menurutnya, sebanyak RM2,500 akan disumbangkan kepada 42 buah masjid dan sebanyak RM1,500 untuk 42 buah surau yang dipilih di setiap DUN.
“Syabas dan tahniah kepada TERATAI atas usaha menjayakan program ini, semoga kita semua memperoleh rahmat dan keberkatan ALLAH SWT.
“Kepada masjid dan surau yang menerima sumbangan ini, manfaatkanlah sumbangan ini dengan sebaik mungkin.
“Saya berdoa semoga bumi Pahang ini terus makmur dan sejahtera serta dilimpahi dengan rezeki berlipat ganda untuk kita terus melaksanakan pelbagai agenda pembangunan demi manfaat semua,” katanya. -PAHANGMEDIA

