Oleh : Fansurina Abdullah
PEKAN, 8 MAC 2024 : Kadar bayaran zakat fitrah di Pahang kekal RM7 selepas diperkenan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah setelah mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), YH. Dato’ Ahmad Hairi Haji Hussain berkata, walau bagaimana pun, kadar bayaran diwajibkan bagi yang menggunakan beras wangi atau yang seumpama dan setara adalah RM14.
Manakala yang menggunakan beras basmati atau seumpama dan setara adalah sebanyak RM21.
“Bagi melancarkan urusan kutipan zakat fitrah, seramai 918 orang amil zakat fitrah telah ditauliahkan untuk melaksanakan urusan kutipan zakat fitrah di dalam Negeri Pahang.
“Justeru, umat Islam di negeri ini dinasihatkan membayar zakat hanya kepada amil yang telah ditauliahkan.
“Majlis juga menyediakan kemudahan pembayaran zakat fitrah secara atas talian (internet) melalui capaian ezakat.muip.gov.my dan melalui qr code Bank Muamalat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media Zakat Fitrah Negeri Pahang Tahun 2024 di Dewan Syarahan MUIP di Pekan, petang tadi.
Jelasnya, sesiapa didapati memungut zakat fitrah tanpa mendapat kuasa atau dilantik oleh MUIP adalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 38 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.
YH. Dato’ Ahmad Hairi berkata, di sepanjang Ramadan, MUIP akan mengagihkan bantuan berjumlah RM20.28 juta membabitkan 38,965 penerima seluruh Pahang.
Bantuan-bantuan ini termasuklah bantuan kepada asnaf dan fakir miskin, pengimarahan Ihya’ Ramadan, bantuan kepada masjid dan surau serta bantuan Hari Raya Aidilfitri.
Orang ramai khususnya umat Islam diseru menunaikan zakat fitrah bermula awal Ramadan dan selewat-lewatnya sebelum solat sunat Hari Raya Aidilfitri. – PAHANGMEDIA

