Oleh : Fairus Mohd
Foto : Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 8 FEBRUARI 2024 : Kerajaan Negeri Pahang sentiasa mementingkan aspek keselamatan setiap Maahad Tahfiz bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kejadian seperti tragedi kebakaran melibatkan bangunan serta pelajar tahfiz yang berlaku di negara ini seharusnya menjadi iktibar dalam memastikan kejadian serupa tidak berulang.
“Itu (keselamatan) menjadi keutamaan kita.. saya juga sering kali mengingatkan sekiranya kita tidak dapat kelulusan (keselamatan) daripada pihak bomba terutamanya kita tidak akan benarkan para pelajar berada di bangunan tersebut.
“Ini adalah perkara wajib yang mesti dipatuhi dan pemantauan juga akan dilakukan dari semasa ke semasa terutamanya daripada pihak berautoriti iaitu pihak bomba,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Pecah Tanah Maahad Tahfiz Negeri Pahang Cawangan Lipis, di Kampung Bapong hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Sumber Manusia yang juga Ahli Parlimen Lipis, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad, YB Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, Dato’ Indera Mahmud Mohd Nawawi serta ADUN Padang Tengku, YB Dato’ Mustapa Long.
Penubuhan Maahad Tahfiz Negeri Pahang cawangan Lipis ini adalah yang pertama di Pahang Barat. Kompleks ini didirikan di atas tapak berkeluasan empat ekar dengan kapasiti 150 pelajar. Projek ini dijangka siap pada April 2026 dan menelan belanja sebanyak RM15 juta ringgit.
Sebelum itu, Kerajaan Negeri Pahang melalui Yayasan Pahang telah menubuhkan dua Maahad Tahfiz di Kuantan iaitu yang pertama MTNP di Tanjung Lumpur dan kampus kedua Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang (MTTNP) di Balok, Kuantan.
Dalam pada itu Dato’ Sri Haji Wan Rosdy menegaskan bahawa keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap pendidikan dan perkembangan syiar Islam adalah berterusan malah menjadi keutamaan dengan peruntukan sebanyak RM165 juta yang disalurkan melalui Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).
Menurutnya, ia juga boleh dilihat melalui penubuhan Tadika Tahfiz yang bermula dengan hanya satu buah pada tahun 2018, tetapi sekarang telah ada 21 buah Tadika Tahfiz di seluruh Negeri Pahang .
“Ini jelas membuktikan bahawa sekiranya ada tuduhan Negeri Pahang tidak Islamik atau sekular, ia sama sekali tidak benar di mana kita tetap teguh memberi perhatian terhadap perkembangan pendidikan dan perkembangan syiar Islam.
Malahan kita menghantar para pelajar ke Mesir, Jordan dan terkini kita akan hantar ke Morocco.
“InsyaAllah dalam masa terdekat kita akan menandatangani MOU dengan Kerajaan Morocco untuk menghantar pelajar kita dan saya dimaklumkan mereka juga akan menaja pelajar-pelajar daripada Pahang di Morocco,” katanya.
Beliau berkata, status Islamik negeri Pahang tidak perlu untuk dicanang kerana segala usaha yang dilakukan pasti dapat dinilai dengan baik oleh setiap mata yang memandang.
“Cuma saya tak nak mereka terkeliru dengan persepsi yang mengatakan Pahang ini tidak Islamik dan sebagainya tanpa melihat kepada apa yang Kerajaan Negeri buat selama ini.
“Ia hanyalah permainan sentimen dan persepsi yang suka dimainkan pihak sebelah sana (pembangkang),” katanya. -PAHANGMEDIA