Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 31 JANUARI 2024 : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Pahang menyita hampir 1,000 liter minyak diesel yang cuba diseleweng serta sebuah lori bersama tangki keluli tambahan dengan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM50,823.
Menurut Pengarah KPDN Pahang, Puan Ezlily Jamaluddin, pihaknya menahan lelaki berusia dalam lingkungan 30 tahun tersebut yang disyaki melakukan penyelewengan minyak diesel bersubsidi di sebuah stesen minyak di Inderapura.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Pahang, telah bertindak menggagalkan cubaan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi apabila sebuah kenderaan lori jenis bonded muatan 3 tan ditahan ketika sedang mengisi minyak diesel di sebuah stesen minyak di sekitar kawasan Inderapura, Kuantan Pahang.
“Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, sepasukan anggota penguatkuasa KPDN sedang membuat rondaan di bawah Ops Tiris 3.0 di stesen-stesen minyak sekitar Kuantan telah menemui sebuah kenderaan lori yang sedang mengisi minyak diesel dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan tersebut telah menemui sebuah tangki keluli tambahan yang disyaki diubahsuai bersambung dengan tangki asal kenderaan untuk digunakan bagi aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata kes ini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 kerana disyaki memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan dan tidak memiliki permit kebenaran daripada Pengawal Bekalan.
Menurut beliau lagi, pihak KPDN Pahang telah berjaya membuat rampasan sebanyak RM381,293 melibatkan lapan kes di bawah Ops Tiris 3.0 sepanjang bulan ini.
Menurut beliau, pihak KPDN juga ingin memberi amaran keras terhadap mana-mana individu atau syarikat yang berkaitan supaya sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.
“Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah AKB 1961 dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1,000,000 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM 3,000,000
bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000,000 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000,” katanya.
Beliau berkata, pihak KPDN juga mengalu-alukan pengguna untuk membantu menjadi mata dan telinga pihak kementerian dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan oleh peniaga melalui :- https://linktr.ee/kpdn. -PAHANGMEDIA

