Oleh : Amalina Aminuddin
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 30 JANUARI 2024 : Keberangkatan balik Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj disambut meriah oleh semua lapisan masyarakat bermula di sepanjang laluan dari Pangkalan Udara TUDM Kuantan sehingga ke Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini.
Muhammad Faiz Shuhaimi, 16, merafak sembah dan menjunjung kasih atas keberangkatan balik KDYMM Sultan Pahang dan KDYMM Tengku Ampuan Pahang ke Negeri Pahang Darul Makmur.

“Kami sangat gembira sebab Sultan kesayangan kami dah balik, rindu sangat kepada Tuanku. Saya merupakan pelajar Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib dan datang menaiki bas sekolah bersama rakan-rakan yang lain, itu yang buat saya lagi teruja datang.
“Ramai sangat orang datang, tak sangka ramai macam ini. Ini menunjukkan betapa kami semua sayang kepada KDYMM Sultan Pahang. Baginda sangat berjiwa rakyat”, katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, Kamarudin Khamis, 56 adalah antara rakyat Pahang yang telah menunggu seawal pagi dengan berpakaian serba lengkap baju kebangsaan bagi bersama-sama menyambut keberangkatan balik Seri Paduka Baginda berdua.
“Saya tak sabar sangat menunggu hari ini, di mana saya dah sampai Kuantan ni semalam, tidur di hotel untuk tidak lambat sampai pagi tadi menunggu KDYMM Sultan Pahang sampai. Saya datang dari Jerantut”, katanya.

Bagi Michael Yap, 55 pula, menyatakan dengan kehadiran bersama-sama pekerja dari Kuantan, ini adalah salah satu cara untuk memberi penghargaan dan terima kasih kepada Seri Paduka Baginda atas segala khidmat jasa dan bakti selama lima tahun sebagai Raja Pemerintah.
“Saya datang bersama team. Memang dah rancang nak datang hari ini untuk bersama-sama menyambut Tuanku balik. Itu saja cara yang kami mampu buat sebagai tanda terima kasih kami kepada Tuanku. Daulat Tuanku,” katanya. – PAHANGMEDIA

