Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
PEKAN, 11 JANUARI 2024 : Pembinaan jambatan Bailey bagi menggantikan jalan utama Laluan FT012, Jalan Kuantan-Segamat yang mendap telah dimulakan hari ini oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Pahang.
Menurut Pengarah JKR Pahang, YBrs. Ir. Hafizah Zakaria, jambatan berkenaan dijangka dapat selesai dalam tempoh seminggu.
“Untuk makluman berlaku mendapan jalan ini pada 6 Januari lalu pada 11.30 malam. Mendapan pertama yang JKR ambil adalah untuk menyediakan laluan sementara dan juga penutupan jalan kerana keadaan jalan adalah sangat membahayakan kepada pengguna jalan raya.

“Tindakan telah diambil dengan menutup jalan Kuantan-Muadzam ini di Seksyen 102 bagi membolehkan pihak JKR untuk menyediakan jalan sementara iaitu dengan menggunakan jambatan Bailey.
“Jambatan ke tapak telah sampai pada pagi ini dan kerja-kerja pemasangan dah dimulakan dan dijangkakan disiapkan dalam tempoh tujuh hari bergantung kepada keadaan cuaca, kalau berlaku hujan lebat atau berlaku banjir kita terpaksa menangguhkan,” katanya.
YBrs. Ir. Hafizah berkata, pihaknya juga akan memohon peruntukan kepada Kementerian Kerja Raya bagi cadangan pembaikkan sepenuhnya laluan ini.
“Anggaran untuk jangka panjang, mungkin akan melibatkan dalam kos sebanyak RM17 juta dan jangkaan siap untuk jambatan kekal ini adalah selama tiga tahun dengan mengambil kira kelulusan, kerja-kerja reka bentuk dan juga pembinaan.

“Bagi jambatan Bailey adalah 100 kaki (30.48 meter) panjang dan 30 kaki (9.3 meter) lebar dan jambatan Bailey ini boleh dilalui oleh dua hala. Jadi gangguan lalu lintas itu tidaklah terganggu. Had muatan jambatan Bailey dihadkan kepada 20 tan sehala sahaja,” katanya.
Menurut beliau, mendapan di kawasan berkenaan dikenalpasti berlaku disebabkan pergerakan air bawah tanah akibat jumlah hujan yang tinggi dan menyebabkan limpahan air yang banyak di Sungai Temiang.
Mengulas mengenai tindakan yang diambil JKR Pahang bagi mengatasi masalah jalan yang dinaiki air, beliau berkata pihaknya membuat permohonan untuk menaikkan aras jalan.
“Sebab kita ada 11 daerah dalam Pahang, langkah yang boleh kita ambil adalah bila berlakunya banjir atau bencana, jalan-jalan yang dinaiki air itu, kita akan membuat permohonan untuk menaikkan aras jalan bagi memastikan terutamanya jalan-jalan perhubungan utama supaya penduduk tidak terputus hubungan.
“Kita dah buat permohonan tapi bukanlah setiap kali banjir kita akan angkat semua jalan yang banjir. Ia bergantung kepada faktor yang mana kita kena buat penelitian secara details.

“Ada sebahagiannya telah dapat kelulusan untuk kita naikkan aras, salah satunya di Maran dan di Jerantut. Di Maran, di Jalan Bak-bak, kerja-kerja pembinaan telah dalam pelaksanaan dan ia berpunca daripada banjir yang menyebabkan jalan tersebut tenggelam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ini Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah mencemar duli melawat jalan yang mendapan tersebut.
Turut mengiringi Seri Paduka Baginda, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; dan YAM. Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama, YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; dan barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang. -PAHANGMEDIA

