Oleh : Fairus Mohd
Foto : Farizul Hafiz Awang
RAUB, 11 JANUARI 2024 : Keadaan cuaca yang tidak menentu di samping paras air sungai yang masih tinggi perlu diberi perhatian oleh orang ramai ekoran bimbang jika bencana berkenaan kembali berulang.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Fadzli Mohamad Kamal berkata, penduduk di kawasan berisiko yang juga mangsa banjir baru-baru ini perlu lebih peka dan mengikuti sebarang arahan daripada pihak berkuasa.

“Kalau dilihat gelombang pertama sebelum ini, air naik begitu cepat sekali. Kalau di Ulu Dong, banjir yang berlaku diburukkan lagi dengan kepala air, ramai yang bagitahu tak sempat nak pindahkan kenderaan ke tempat yang selamat.
“Jadi bagi mengelak keadaan seumpama berulang, saya minta agar semua penduduk patuh pada arahan pihak berkuasa. Saya tak nak kejadian tahun 2021 berulang, bila suruh pindah tak nak pindah jadi bila banjir besar melanda mereka terpaksa duduk atas bumbung lebih separuh hari menunggu anggota penyelamat sampai kerana usaha untuk datang kepada mereka menjadi sukar ekoran keadaan banjir yang semakin buruk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian Bantuan Banjir CelcomDigi kepada mangsa banjir daerah Raub di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Dong, di sini, hari ini.

Hadir sama Pegawai Bahagian Kelestarian Ibupejabat CelcomDigi Bhd, Encik Mohd Fazly Kamaruzaman, Pengerusi Malaysia Relief Agency (MRA) Pahang, Encik Mahadi Deraman serta pemimpin setempat.
Sebanyak 150 buah kotak makanan diserahkan kepada ketua kampung yang mewakili mangsa banjir di sembilan buah kampung bawah DUN Dong.
Dalam pada itu beliau menyampaikan ucapan penghargaan Kerajaan Negeri Pahang kepada pihak CelcomDigi dan Malaysia Relief Agency (MRA) yang turut bersama meringankan beban mangsa banjir melalui usaha CSR yang dilakukan.
Lebih membanggakan katanya, Raub dipilih sebagai daerah pertama menerima bantuan dan berharap agar sedikit sebanyak ia dapat meringankan beban mangsa banjir yang terlibat. -PAHANGMEDIA

