Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 4 DISEMBER 2023 : Jabatan Imigresen Negeri Pahang telah memberi kelulusan Pas Lawatan (Kerja Sementara) bagi Permohonan Baru dan Permohonan Lanjutan kepada seramai 26,995 orang pekerja asing bagi tempoh Januari hingga September lalu.
Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB. Encik Sim Chon Siang berkata, daripada jumlah itu, seramai 10,553 orang bekerja di sektor perladangan, 4,870 pembinaan dan 4,639 pertanian.
“Manakala perkilangan seramai 3,983 orang, perkhidmatan 2,870 orang, perlombongan 50 orang dan pembuatan 30 orang,” katanya ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan (ADUN) Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapa Haji Long pada Sesi Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Tambahnya, kesemua warga asing tersebut berasal dari Indonesia, Nepal, Myanmar, Indoa, Pakistan, Sri Lanka, Bangladesh, China, Vietnam, Thailand, Filipina, Kemboja dan Laos yang melibatkan aktiviti ekonomi di negeri ini.
Beliau berkata, kehadiran pekerja asing ini mampu menyokong pembangunan ekonomi negeri kerana berkehendak bekerja di sektor buruh berkemahiran rendah seperti kerja ladang atau buruh kasar di kawasan pembinaan dan perindustrian.
“Walau bagaimanapun, bagi pekerja tahap kemahiran tenaga kerja mahir dan separa mahir masih lagi diisi oleh rakyat tempatan.
Namun, keadaan ini masih perlu diberikan perhatian oleh Kerajaan Negeri dalam menangani lambakan pekerja asing di negeri ini,” katanya. – PAHANGMEDIA