Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 4 DISEMBER 2023 : Pahang Rural Internet Services & Multimedia Access (PRISMA) merupakan satu inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Pahang bagi mengatasi masalah capaian internet di kawasan pedalaman sebelum projek JENDELA berjaya dilaksanakan sepenuhnya.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal berkata, untuk tujuan itu, Kerajaan Pahang memperuntukan sebanyak RM3 juta pada 2022 bagi memastikan kawasan pedalaman dan Kampung Orang Asli mempunyai capaian internet yang baik.
“Projek langganan perkhidmatan jalur lebar satelit di 50 kawasan yang mempunyai masalah capaian internet yang juga dikenali sebagai PRISMA yang merupakan insiaitif interim oleh Kerajaan Negeri Pahang sebelum projek JENDELA dilaksanakan sepenuhnya.
“Syarikat Pahang Go Sdn Bhd telah dilantik sebagai pembekal perkhidmatan. Jawatankuasa Pelaksanaan Projek PRISMA yang diurus selia oleh Bahagian Teknologi Maklumat (BTM) Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang dan dianggotai oleh SKMM dan BPEN telah ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan projek ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan (ADUN) Tras, YB. Tengku Zulpuri Shah Raja Puji pada Sesi Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Jelasnya, Kerajaan Negeri Pahang juga telah memperuntukkan jumlah yang sama pada 2023 untuk kesinambungan projek dengan sebanyak 50 lokasi baharu dan 26 lokasi sedia ada telah dikenalpasti untuk pelaksanaan PRISMA sehingga Disember 2024.
Beliau berkata, sehingga kini PRISMA telah memberi manfaat kepada lebih 3,800 pengguna di kawasan pedalaman dan Kampung Orang Asli yang mempunyai masalah capaian internet bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti secara atas talian. – PAHANGMEDIA