Oleh : Fara Rosli
KUANTAN, 1 NOVEMBER 2023:Kerajaan Negeri Pahang melalui Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) daerah Pekan telah berjaya meminimumkan masalah bekalan air di lebih 25 buah kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Manis, Pekan.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, pemasangan pam air mentah baru di Loji Air Lepar, pemasangan pam-pam air bersih Rumah Pam Salong, penggantian pam-pam air mentah di Loji Rawatan Air Belimbing dan penukaran pam yang lebih besar di Rumah Pam Pulau Manis adalah antara usaha yang dilaksanakan pihak PAIP daerah Pekan.

“Antara kawasan yang menerima kebaikan usaha ini ialah Perumahan Sri Gemuruh, Kampung Pulau Manis, Kampung Pelak, Taman Agropolitan Lepar, Kampung Menchupu, Kampung Lepar, Kampung Kubang Panjang, Kampung Bukit Tualang, Kampung Cempaka, Kampung Bunut, Kampung Batu Ampar, Taman Selasih, Kampung Tebat, Kampung Kuala Lepar, Kampung Tengkur, Kampung Tanjung Pulai, Kampung Tanjung, Kampung Bukit Udang, Kampung Tanah Merah, Kampung Sri Makmur, Kampung Sepagar, Kampung Mempalas, Kampung Salong, Kampung Salong Hilir, Kampung Belimbing dan lain-lain,” katanya.
Dalam satu kenyataan di dalam laman sosial rasminya di Facebook, pihaknya turut mengadakan perbincangan bersama kepimpinan setempat setelah mengenalpasti punca-punca masalah bekalan air di sekitar daerah Pekan pada Julai lalu.
Justeru itu, beliau selaku Caretaker Kerajaan Pahang berkata, kerajaan negeri telah memberi peruntukan kepada PAIP Pekan untuk menjalankan kerja-kerja penambahbaikan dalam usaha memastikan penduduk sekitar menerima bekalan air bersih yang lebih baik dan pemantauan akan dilakukan dari semasa ke semasa.
“Untuk makluman, sebanyak RM65.25 juta telah diperuntukkan PAIP melalui Kerajaan Pahang bagi kerja-kerja membaiki dan menaiktaraf paip usang dan bermasalah serta penggantian pam-pam yang rosak dan lama di seluruh Daerah Pekan. Setakat ini PAIP telah membelanjakan sebanyak RM46.17 juta.
“Penambahbaikan sistem bekalan air Daerah Pekan akan terus dilaksanakan dengan giat, berperingkat dari masa ke semasa agar kebolehcapaian bekalan air dapat dirasai rakyat serta memenuhi permintaan pembangunan baharu yang semakin bertambah. Kerajaan Pahang melalui PAIP akan terus berusaha bagi memastikan 90% masalah air di negeri ini akan dapat diatasi menjelang 2027,” katanya. – PAHANGMEDIA

