Oleh : Fara Rosli
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 30 OKTOBER 2023 : Majlis Pengurniaan Anugerah Perdana Belia Negara dan Anugerah Khas Belia Negara Peringkat Negeri Pahang 2023 menyaksikan pencapaian yang memberansangkan dalam pelbagai bidang dan sektor bagi golongan belia di negeri ini.
Bagi penerima Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Pahang Kategori Individu Wanita, Zurratul Aina Mohamad Zahidin, 25, sumbangan beliau dalam bidang kesihatan sejak 2016 merupakan salah satu faktor kepada pencapaiannya hari ini.
“Saya lebih banyak fokus kepada kesihatan mental dalam kalangan belia dan warga emas, ini satu bantu loncatan untuk buat yang lebih baik dalam pembangunan belia,” kata penuntut tahun akhir Universiti Islam Antarabangsa (UIA) kampus Kuantan itu.

Beliau yang merupakan Pengurus Operasi di sebuah pusat penjagaan kesihatan mental di Temerloh turut menyifatkan anugerah ini boleh menjadi pemangkin semangat bagi para belia di luar sana untuk memberi sumbangan khususnya kepada Kerajaan Negeri Pahang.
Sementara itu, Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Pahang Kategori Individu Lelaki dirangkul oleh Muhammad Zul Syafiq Abdul Wahab, 32, yang merupakan seorang belia yang bergiat aktif dalam bidang pendidikan dan khidmat masyarakat untuk pelbagai peringkat umur sejak 2014.
“Kalau balik kampung cuti semester, saya buat tuisyen rakyat, tuisyen percuma untuk kejiranan, bermula hanya dari rumah sehingga dapat dewan, sehingga saya ada pusat tuisyen dan team consultant sendiri,” katanya yang mempunyai pusat pendidikan persendirian di Felda Jengka 19.

Beliau yang juga Pengarah Urusan Ilead Strategy Legacy berkata, selain penglibatannya dalam pembangunan belia, beliau juga berhasrat untuk memangkin generasi yang berilmu termasuk ilmu keagamaan dan bersedia dengan cabaran akan datang.
“Saya fikir mungkin ada golongan B40 atau M40 tiada akses untuk pergi tuisyen di bandar yang agak jauh perjalanannya, selain yuran yang mahal, jadi saya fikir apa salahnya selepas tamat belajar di universiti, kongsi dengan masyarakat sekeliling dahulu,” katanya.
Anugerah lain yang dikurniakan ialah Anugerah Khas Akademik, Anugerah Khas Usahawan Belia, serta Anugerah Perdana Belia Kategori Pertubuhan Belia.
Kesemua anugerah disampaikan oleh Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mewakili Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. – PAHANGMEDIA

