Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Radin Mohd Norhilmi Nordin
KUANTAN, 30 OKTOBER 2023 : Prestasi dan tadbir urus yang baik oleh Kerajaan Pahang dapat diukur melalui pelbagai sumbangan kepada rakyat di negeri ini.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, pelbagai program bantuan kepada rakyat dapat dilaksanakan disebabkan kedudukan kewangan Kerajaan Negeri yang kukuh.
“Hari ini kita Kerajaan Negeri telah banyak memberikan, menyalurkan peruntukan-peruntukan kepada pihak yang memerlukan selain daripada Bantuan Prihatin Pahang.
“Ini semua dapat kita laksanakan oleh Kerajaan Negeri disebabkan oleh kedudukan kewangan yang baik yang dapat kita capai melalui kestabilan politik dan urus tadbir yang baik.
“Pada hari ini sahaja seramai 100 penerima dengan peruntukan sebanyak RM1.2 juta telah diagihkan kepada penerima-penerima. Ini semua untuk memastikan bahawa pihak terbabit atau penerima terbabit mendapat bantuan sewajarnya melalui peruntukan Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Cek Sumbangan Kerajaan Negeri Pahang di Lobi Utama, Kompleks Yayasan Pahang, Tanjung Lumpur, hari ini.
Beliau dalam masa yang sama turut berharap supaya seluruh rakyat di negeri ini dapat menilai prestasi Kerajaan Negeri dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat.
“Saya berharap agar seluruh rakyat Pahang dapat bersama-sama menilai tentang prestasi Kerajaan yang telah ada pada hari ini agar kita dapat sama-sama memastikan Kerajaan yang ada pada hari ini dengan urus tadbir yang baik dan pencapaian serta kedudukan yang baik dan boleh melaksanakan pelbagai program yang baik untuk rakyat mestilah kita berikan sokongan dan kekalkan untuk terus diberikan mandat dan kepercayaan bagi menerajui dan mentadbir Negeri Pahang demi kebaikan kita bersama.
“Ini semua dapat dilakukan kerana kita mempunyai sebuah Kerajaan yang stabil, mempunyai kedudukan kewangan yang baik, dan Kerajaan sentiasa prihatin kepada masalah yang dihadapi oleh rakyat,” katanya. -PAHANGMEDIA

