Oleh: Syafiqah Jamaluddin
Foto: Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 5 JULAI 2026 : Skuad kriket wanita Pahang kini berada pada tahap terbaik bagi menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor XXII 2026 dengan sasaran membawa pulang pingat emas selepas menjalani persiapan rapi sejak tahun lalu.
Jurulatih pasukan, Abdur Raof Abdul Majid berkata, persiapan awal yang dilaksanakan membolehkan pasukan membentuk kombinasi mantap membabitkan pemain senior dan junior sebagai persediaan menghadapi cabaran di temasya berprestij itu.

“Alhamdulillah, kami telah mengumpulkan pemain sejak tahun lalu dan gabungan pemain senior serta junior diharapkan mampu membuahkan hasil untuk Pahang.
“Berdasarkan prestasi semasa, saya melihat semua pemain sudah bersedia untuk menghadapi SUKMA nanti,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman pulang tanpa sebarang pingat pada SUKMA Sarawak dua tahun lalu menjadi pembakar semangat kepada seluruh pasukan untuk bangkit dan melakar kejayaan di Selangor.
Sementara itu, pemain kriket wanita Pahang, Wan Nur Hidayah Wan Mustafa Sabri, 21, berkata pengalaman beraksi di SUKMA Sarawak menjadi pengajaran berharga dalam memperbaiki kelemahan pasukan.

Katanya, persiapan kali ini jauh lebih rapi dengan memberi penekanan kepada aspek kecergasan dan kekuatan fizikal bagi memastikan mereka tampil lebih kompetitif.
“Sebagai pelajar IPT, agak sukar untuk sentiasa berada bersama pasukan. Oleh itu, saya memperbanyakkan latihan kendiri, khususnya dari segi kecergasan fizikal.
“Sasaran kami sebagai satu pasukan di SUKMA Selangor 2026 adalah untuk memenangi pingat emas,” katanya.
Temasya SUKMA Selangor XXII 2026 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos ini, menghimpunkan atlet muda terbaik dari seluruh negara yang akan bersaing dalam pelbagai acara sukan bagi merebut kejuaraan untuk negeri masing-masing. – PAHANGMEDIA

