Oleh : Fara Rosli
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 29 OKTOBER 2023 : Kerajaan Negeri Pahang telah memperuntukkan sebanyak RM4 juta tahun ini untuk belia menerusi Jabatan Belia dan Sukan Pahang, Majlis Belia Pahang serta Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO).
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Fadzli Mohamad Kamal berkata, peruntukan tersebut adalah untuk pelaksanaan pelbagai program yang melibatkan belia di negeri ini.

“Pelaksanaan program-program ini termasuklah program kepimpinan belia, latihan, kesukarelaan, keusahawanan, teknokrat, sukan dan pelbagai lagi,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengurniaan Anugerah Perdana Belia Negara 2023 Peringkat Negeri Pahang di Hotel Swiss-bel, hari ini.
Hadir sama ialah Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB Sim Chon Siang; Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Encik Mohd Azhari Mohammad; serta Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang, Encik Mu’azamir Jili.

Tambah beliau lagi, peruntukan tersebut merupakan antara peruntukan terbesar yang disalurkan kepada belia di negeri ini jika dibandingkan dengan negeri-negeri yang lain.
Dalam pada itu, beliau sempat menzahirkan rasa syukur kerana Penaung Diraja Majlis Belia Negeri Pahang iaitu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang merupakan seorang yang sentiasa prihatin dan cakna terutamanya terhadap golongan belia di negeri ini.
“Sifat kepimpinan unggul Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dalam beberapa organisasi, berjaya menyuntik keyakinan belia di negeri ini,” ujarnya. – PAHANGMEDIA

