Oleh: Nur Saadah Artika
Foto: Farizul Hafiz Awang
BERA, 5 JULAI 2026 : Festival Budaya Rakyat Pahang yang berlangsung di Dataran Kerayong, di sini bukan sahaja menjadi platform memartabatkan seni dan warisan budaya negeri, malah berperanan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat menerusi kehadiran ribuan pengunjung.
Majlis perasmian festival itu dirasmikan oleh Ahli Parlimen Bera merangkap mantan Perdana Menteri Malaysia ke-9, YB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dan turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Hajah Sabariah Saidan.

Menurut YB Dato’ Sri Ismail Sabri, festival yang dijangka menarik kira-kira 50,000 pengunjung itu mampu merancakkan ekonomi setempat serta meningkatkan pendapatan peniaga dan usahawan tempatan.
Selain itu, beliau turut berkata budaya bukan hanya warisan untuk dipelihara, sebaliknya merupakan aset ekonomi yang mampu menjana peluang pekerjaan serta memperkukuh industri pelancongan.

“Penganjuran festival yang dijangka menarik kira-kira 50,000 pengunjung ini akan memberikan limpahan manfaat kepada ekonomi setempat, sekali gus meningkatkan pendapatan para peniaga dan usahawan tempatan
“Saya percaya budaya bukan sekadar warisan yang perlu dipelihara, tetapi aset ekonomi yang mampu mewujudkan peluang pekerjaan, menggalakkan keusahawanan dan memperkukuh industri pelancongan,” katanya ketika berucap pada sesi perasmian Festival Budaya Rakyat Pahang di Dataran Kerayong Bera, di sini.
Tambah beliau, daerah Bera terus membangun dengan berpaksikan nilai budaya, semangat perpaduan dan warisan yang wajar dipelihara untuk generasi yang akan datang.

“Daerah Bera juga bukan sekadar sebuah daerah yang sedang membangun, tetapi juga merupakan sebuah daerah yang membesar bersama nilai budaya, semangat perpaduan dan warisan yang harus terus terpelihara untuk diwariskan kepada generasi yang akan datang,” katanya.
Antara persembahan yang mencuri tumpuan pada malam perasmian Festival Budaya Rakyat Pahang ini ialah persembahan kesenian Pahang oleh Man Kayan dan Mas Sabray yang mendendangkan lagu-lagu tradisional warisan turun-temurun, sekali gus menghidupkan semula keunikan seni budaya negeri.
Festival yang menghimpunkan pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat itu turut menjadi medium memperkenalkan warisan seni budaya kepada generasi muda agar terus dikenali dan dipelihara sebagai khazanah yang mencerminkan jati diri negeri Pahang. -PAHANGMEDIA

