Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Radin Mohd Norhilmi Nordin
BENTONG, 26 OKTOBER 2023 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukan hampir RM2.6 juta bagi Bantuan Prihatin Pahang (BPP) kluster pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di negeri ini.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd. Razak berkata peruntukan ini melibatkan seramai 25,871 penerima bagi tahun ini.
“Di bawah Bantuan Prihatin Pahang (BPP) ada kluster untuk pelajar dan kita menyampaikan sumbangan untuk meringankan bebanan pelajar itu sendiri, menampung sedikit perbelanjaan bagi memperkasa proses pembelajaran pelajar-pelajar.
“Ini meliputi pelajar yang akan menghadapi peperiksaan SPM dan STPM iaitu lebih kurang dalam 26,000 pelajar semuanya daripada 188 buah sekolah yang ada pelajar SPM, dan 40 buah sekolah yang ada pelajar STPM.
“Jumlah peruntukan lebih kurang RM2.6 juta dan kita akan sampaikan sumbangan ini melalui kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang, dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Pelancaran Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kluster Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di Geo Resort Hotel di sini hari ini.
Majlis penyerahan berkenaan disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata bantuan bagi kluster ini juga bakal diteruskan pada tahun hadapan bagi membantu para pelajara yang bakal menduduki peperiksaan di negeri ini.
Kerajaan Pahang memperuntukan sebanyak RM8 juta dalam peruntukan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM42.4 juta tahun ini yang memberi manfaat kepada 218,193 penerimanya. -PAHANGMEDIA

