Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Radin Mohd Norhilmi Nordin
BENTONG, 26 OKTOBER 2023 : Kerajaan Negeri Pahang memberi bantuan perlindungan insurans berkelompok bernilai RM79.4 juta pemandu pelancong, pengusaha bot, dan malim gunung di negeri ini bermula bulan hadapan.
Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB Cik Leong Yu Man berkata, bantuan julung kali diberikan ini melibatkan caruman insurans individu bernilai RM120 setahun selama tiga tahun kepada 794 penerima.
“Kerajaan Negeri Pahang adalah Kerajaan Negeri pertama menawarkan perlindungan insurans kepada pemandu bot, malim gunung, dan juga pemandu pelancong dengan jumlah RM300. Terdapat 794 orang yang layak menerima skim ini jadi mereka akan dapat perlindungan kemalangan selama tiga tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Penyerahan Simbolik Mock Cheque Bantuan Prihatin Pahang 2023 (BPP) Kepada Kluster Pemandu Bot Pelancong Dan Malim Gunung Dan Majlis Kebudayaan Negeri Pahang di Geo Resort Hotel di sini hari ini.

Majlis penyerahan berkenaan disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Menurut beliau, skim insurans di bawah peruntukan Projek Matan Belanjawan 2023 ini bernilai RM300,000 ini diberikan kerana Kerajaan Negeri memahami tugas mereka sebagai petugas barisan hadapan.
“Jadi apabila berlaku kemalangan, dulu mereka perlu tanggung sendiri. Jadi dengan adanya perlindungan ini kita percaya bahawa Kerajaan Negeri prihatin dan cakna tentang risiko yang mungkin dialami oleh pemain-pemain industri.
“Mereka perlu bawa pelancong ke kawasan pergunungan, ke kawasan sungai, yang ada risiko-risiko tertentu.
“Di bawah perlindungan ini kita ada manfaat kematian dan hilang upaya kekal akibat kemalangan sebanyak RM100,000; pembayaran balik pencarian dan pemindahan (RM10,000); perbelanjaan perubatan akibat kemalangan (RM2,500); pendapatan hospital akibat kemalangan maksima 30 hari (RM50 sehari); pampasan kaunseling trauma maksima 10 sesi (RM100 per sesi); dan perbelanjaan penghantaran pulang (RM5,000),” katanya.
Sementara itu, beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang juga menyediakan peruntukan sebanyak RM200,000 kepada pemain industri pelancongan di bawah bantuan ini.
“Kerajaan Negeri Pahang telah menyediakan peruntukan sebanyak RM200,000 kepada 1,000 penerima iaitu RM200 setiap seorang bagi Bantuan Prihatin Pahang (BPP) kluster pemandu bot pelancong dan malim gunung di setiap daerah di Negeri Pahang.
“Selain itu, Majlis Kebudayaan Negeri Pahang akan menerima RM600,000 daripada Kerajaan Negeri Pahang,” katanya. -PAHANGMEDIA

