Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 26 OKTOBER 2023 : Sejumlah 900 tan metrik beras putih tempatan mula diedar ke seluruh Pahang sebagai langkah dalam menangani permintaan bahan makan ruji negara itu.
Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras Pahang, Encik Hamizan Musa berkata, bekalan beras itu diedarkan lima syarikat pemborong yang dilantik kerajaan.
“Kita harap walaupun masalah pasaran beras itu tidak selesai sepenuhnya tetapi sekurang-kurangnya bekalan masih ada di pasaran iaitu dijual pada harga RM26 untuk 10 kilogram di peringkat runcit.
“Bekalan beras putih tempatan ini diperoleh dari Kedah dan akan disusuli dari Kelantan, Terengganu, Selangor dan Perak kerana mengikut musim menuai. Sehubungan itu, masyarakat tidak perlu bimbang keberadaan beras putih tempatan kerana akan sentiasa berada di pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ditemui media pada Program Pelepasan Beras Putih Tempatan di syarikat pemprosesan, pengedaran dan pemasaran Mumtaz Iman Sdn Bhd, di sini hari ini.
Pelepasan berkenaan dibuat oleh Setiausaha Politik YAB Menteri Besar Pahang, Encik Mohd Farid Mohd Nor mewakili Menteri Besar.
Sementara itu, Encik Mohd Farid berkata, Kerajaan Pahang mengalu-alukan langkah kerajaan dalam usaha menstabilkan bekalan beras tempatan di seluruh negara termasuk di Pahang itu.
Menurutnya, program itu sedikit sebanyak dapat mengatasi masalah kekurangan beras tempatan di seluruh negara sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
“Kerajaan negeri sentiasa bekerja rapat dengan pihak Kawal Selia Padi dan Beras untuk mencari kaedah sesuai bagi membantu rakyat dalam isu ini,” katanya. – PAHANGMEDIA

