Oleh : Fara Rosli
KUANTAN, 14 OKTOBER 2023 : Penggunaan lambang, gelaran atau anugerah yang dikurniakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah secara tidak wajar adalah dilarang sama sekali.
Baginda menitahkan para penerima Darjah-Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Pahang Darul Makmur supaya tidak menyalahguna dan sentiasa bertanggungjawab terhadap penggunaan darjah, gelaran dan pingat yang dikurniakan.
Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang hari ini, baginda bertitah dan mengingatkan penerima Darjah-Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Pahang agar tidak mempamerkan atau melekatkan lambang pingat dan darjah kebesaran pada kenderaan masing-masing.
Sehubungan dengan itu, Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017 diperuntukkan bagi mengelakkan penggunaan lambang, gelaran dan anugerah yang dikurniakan baginda tersebut secara tidak wajar.
Darjah-Darjah Kebesaran dan Pingat yang dikurniakan baginda boleh ditarik balik sekiranya penerima tidak mematuhi enakmen yang ditetapkan manakala individu yang didapati menggunakan gelaran palsu juga boleh didakwa di bawah peruntukan yang sama.
Dalam pada itu, pihak pentadbiran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang turut memohon kerjasama dari pihak Polis Diraja Malaysia serta Jabatan Pengankutan Jalan Malaysia untuk mengambil tindakan penguatkuasaan sekiranya terdapat individu yang melakukan kesalahan tersebut. – PAHANGMEDIA

