Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Radin Mohd Nor Hilmi Nordin
KUANTAN, 14 OKTOBER 2023 : Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Negeri Pahang menyasarkan penglibatan seramai 300,000 peserta sepanjang majlis berlangsung selama tiga hari yang bermula semalam dan berakhir esok.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal berkata, HSN berhasrat membudayakan sukan di kalangan masyarakat dengan pengamalan gaya hidup cergas dan aktif dengan kerangka Malaysia MADANI dan Visi Sukan Negara 2030.
Menurutnya, HSN Peringkat Negeri Pahang yang turut mendapat kerjasama daripada penganjur Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pahang ini turut mendapat penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, jabatan dan agensi khususnya pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menghantar penyertaan yang cukup ramai untuk sambutan di peringkat negeri pada hari ini.
“Dan sebab itulah kita tengok tadi memang ramai yang menyertai Hari Sukan Negara, terima kasih sekalung budi kepada pihak PDRM menyokong program kita (HSN) dan program ini memang kita galakkan supaya memupuk kesedaran di kalangan anggota masyarakat di setiap peringkat umur termasuk yang muda supaya sedar bahawa sukan ini penting dan kita mahu mereka mengamalkan gaya hidup sihat, jadi budaya dan amalan di setiap peringkat umur dikalangan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Hari Sukan Negara 2023 Peringkat Negeri Pahang di Padang MBK 1, Kuantan, pagi tadi.
Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Dato’ Sri Ramli Mohamed Yoosuf, Ketua Polis Pahang, DCP Dato’ Sri Yahaya Othman, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Pahang, Encik Mu’azamir Haji Jili, Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Pahang, Encik Mazli Hamdan dan Datuk Bandar Kuantan, Dato’ Razihan Adzharuddin.
Seramai 8,000 orang menyertai pelbagai aktiviti dan acara diadakan antaranya Kayuhan Basikal 50km, Larian 10km, Larian 5km, Fun Walk : Oktober, senamrobik, acara ragbi dan bola sepak.
Dalam pada itu, Ketua Polis Pahang, DCP Dato’ Sri Yahaya Othman berkata, pasukan PDRM Pahang telah menghantar seramai 6,000 penyertaan terdiri daripada pegawai, anggota dan ahli keluarga di semua 11 daerah di negeri ini sebagai tanda sokongan terhadap penganjuran HSN yang disambut pada setiap Sabtu minggu kedua bulan Oktober. – PAHANGMEDIA

