Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 12 OKTOBER 2023 : Sebanyak enam rumah dan tiga motosikal terlibat dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku di Jalan Kampung Sungai Ruil, Cameron Highlands kira-kira jam 10.56 pagi tadi.
Kejadian tersebut berlaku ekoran hujan lebat pada sebelah malam dan dipercayai terdapat juga kebocoran paip lama di dalam tanah yang menjadi faktor runtuhan berlaku.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Cameron Highlands memaklumkan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Menurutnya, sehingga jam 2 petang tadi, masih terdapat tanda-tanda pergerakan tanah runtuh berlaku dan sebanyak 16 buah rumah berhampiran telah diarahkan pengosongan.
“Sehingga kini, penduduk di kawasan terlibat dan sekitar telah diarahkan supaya mengosongkan rumah masing-masing kerana masih terdapat pergerakan tanah di kawasan runtuhan.
“Siasatan awal oleh pihak bomba berkenaan analisa keselamatan tempat kejadian telah dilakukan dan kerja-kerja pembersihan akan dijalankan setelah mendapat nasihat daripada Bahagian Forensik Cawangan Kejuruteraan Cerun,” katanya.
Paip air di kawasan terbabit juga telah ditutup bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dilakukan dengan selamat selepas dibenarkan oleh Bahagian Forensik Kejuruteraan Cerun. – PAHANGMEDIA

