Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 14 OKTOBER 2023 : Kerajaan Negeri Pahang menghargai enam peruntukan yang diberikan Kerajaan Persekutuan kepada negeri ini menerusi Belanjawan 2024 yang dibentangkan semalam.
Menerusi satu kenyataan media oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, beliau merakamkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana telah memberikan peruntukan kepada Negeri Pahang.
“Tahniah dan terima kasih kepada YAB Dato’ Sri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia yang juga Menteri Kewangan atas pembentangan Belanjawan 2024, pada petang semalam.
“Sudah pastinya belanjawan yang telah diumumkan ini merupakan satu naskhah belanjawan yang telah digarap secara komprehensif, holistik serta mencakupi pelbagai sektor seperti ekonomi, pembangunan infrasturktur, pendidikan, kesihatan, keselamatan, keterjaminan makanan serta inisiatif-inisiatif untuk meringankan beban rakyat.
“Dalam pada itu, saya juga menghargai serta merakamkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana telah memberikan peruntukan kepada Negeri Pahang,” katanya.
Menurut beliau pembentangan belanjawan bertemakan Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat itu membawa manfaat yang besar kepada setiap lapisan masyarakat serta memberi dorongan kepada pertumbuhan ekonomi negara yang positif.
“…Memperuntukkan RM47 juta bagi menambah baik fasiliti penumpang di terminal Lapangan Terbang Tioman dan memanjangkan landasan sedia ada kepada 1,300 meter; Taman Rimba Kenong, Lipis disenaraikan antara yang terlibat dalam menyelenggara dan memulihara lokasi tarikan pelancongan dengan peruntukan RM20 juta.
“Lembangan Sungai Pahang disenaraikan antara yang terlibat dalam 33 Projek Tebatan Banjir Berkeutamaan Tinggi dengan kos melibatkan RM11.8 bilion; Pembinaan dua buah sekolah baharu iaitu Sekolah Kebangsaan Bunut Rendang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Melati, Kuantan.
“Pembinaan Klinik Kesihatan Kuala Tahan, Jerantut; dan Meneruskan Program Transformasi Bas Henti-henti di Kuantan,” katanya.
Beliau turut berharap bahawa seluruh rakyat Malaysia dapat menyokong penuh belanjawan yang telah dibentangkan ini demi kestabilan dan kemakmuran bersama. -PAHANGMEDIA

