Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 12 OKTOBER 2023 : Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melalui Jawatankuasa Penyelidikan Banjir (FRC) dengan kerjasama Yayasan Pahang, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pahang dan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Pahang telah membangunkan Sistem Pengesanan Bencana Kepala Air secara Pintar (Smart Water Surge Warning System).
Sistem Pengesanan Bencana Kepala Air secara Pintar ini telah dilancarkan di hadapan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail di booth UMPSA sempena Majlis Penutup Karnival Tanah Peringkat Negeri Pahang di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah, Lipis.
Hadir sama ialah YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Zulkifli Yaacob, YB Penasihat Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapa Long, Pengarah Tanah dan Galian Negeri Pahang, YH. Dato’ Hamdan Hussin, Pegawai Daerah Lipis, YH. Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.
Menurut Ketua Penyelaras Projek, Profesor Ir. Dr. Mohd Faizal Jamlos, Sistem Pengesanan Bencana Kepala Air secara Pintar ini berfungsi dengan menggunakan teknologi pintar bagi menganalisis pelbagai data setempat secara ‘real-time’.
Ia bertujuan untuk mengesan kenaikan paras air yang mendadak dan seterusnya berpotensi untuk menjadi kepala air terutamanya di kawasan air terjun.
“Sistem ini akan membolehkan loceng amaran terus dibunyikan untuk memaklumkan kepada pengunjung dan komuniti sekitar kawasan air terjun akan kenaikan paras air secara mendadak pada kawasan hulu air terjun dan terdapat kemungkinan risiko bencana kepala air akan datang,” katanya.
Sistem Pengesanan Bencana Kepala Air ini akan dapat mengurangkan risiko kehilangan nyawa atau kematian akibat bencana kepala air membabitkan kawasan pelancongan di negeri ini. – PAHANGMEDIA

